Hamza (dua, kanan) menunjukkan hasil rampasan pada sidang media semalam.
Hamza (dua, kanan) menunjukkan hasil rampasan pada sidang media semalam.
KUALA LUMPUR – Polis mengesan trend baharu yang digunakan oleh penjenayah siber dengan hanya menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi WhatsApp, penjenayah terbabit mampu mencuri sejumlah wang dalam akaun bank mangsa dalam tempoh seminit.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Hamza Taib berkata, pihaknya menerima tujuh laporan polis membabitkan kerugian RM59,400 sepanjang bulan ini.

“Mangsa mendakwa menerima satu pautan url link melalui SMS daripada nombor telefon antarabangsa dan diarahkan untuk klik link tersebut yang mengandungi virus malware atau trojan.

“Apabila mangsa klik pautan akan keluar satu sijil kononnya dikeluarkan pihak bank berserta nombor kod, seterusnya mangsa dikehendaki memasukkan maklumat peribadi bagi tujuan pengesahan,” katanya.

Menurutnya, proses muat turun dari url tersebut, telah mewujudkan satu program baharu di telefon pintar milik mangsa dengan ikon bank berkaitan.
“Tanpa mangsa sedari, program itu yang berfungsi sebagai SMS Stealer yang bertindak menghantar TAC (Transaction Authorisation Code) kepada suspek.

“Setelah selesai proses muat turun tersebut, paparan laman web sebenar bank berkaitan akan dipaparkan semula di skrin telefon bimbit mangsa,” katanya.
Beliau turut menasihati pengguna telefon bimbit agar menggunakan anti-virus dan perisian anti-malware yang sentiasa dikemas kini.

“Sentiasa berwaspada dan jangan sesekali membuka mesej, email, spam yang mengandungi lampiran atau klik pautan pada mana-mana laman web,” katanya.

Hamza berkata, pihaknya kini sedang berusaha mengesan pihak yang menghantar SMS itu.

“Kita percaya sindiket berkenaan turut menggunakan keldai akaun dalam kalangan rakyat tempatan," katanya.