Search This Blog

Monday, September 8, 2014

Sindiket Love Scam: 5 warga asing, seorang wanita tempatan ditahan


KUALA LUMPUR 7 Sept. - Lima warga Afrika yang memperdayakan seorang pegawai bank sehingga wanita itu kerugian RM223,000 diberkas dalam serbuan di beberapa lokasi di Lembah Klang semalam.
Turut ditahan bersama kesemua suspek yang merupakan anggota sindiket penipuan internet (Love Scam) ialah seorang wanita warga tempatan berusia 45 tahun.
Dalam kesemua serbuan yang dilakukan, polis merampas enam komputer riba, 10 telefon bimbit, sejumlah buku akaun bank, 20 kad bank, dua tablet dan sebuah buku cek.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang berkata, kesemua suspek ditahan berikutan laporan yang dibuat oleh mangsa yang terlibat.
Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan suspek telah memasuki negara ini menggunakan visa pelajar dan mendakwa mereka belajar di sebuah kolej swasta.
"Mereka memilih mangsa dengan membuat panggilan telefon secara rawak dan memaklumkan mangsa memenangi hadiah dalam bentuk bungkusan.
"Kemudian, mangsa diminta membayar sejumlah wang kononnya bagi membolehkan hadiah tersebut melepasi pemeriksaan pegawai Kastam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengenai wanita tempatan yang ditahan, Junaidi memberitahu, dia merupakan kekasih salah seorang suspek dan berperanan untuk membuka akaun bank yang mana wang daripada aktiviti haram itu akan dimasukkan.
"Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan." katanya.


Artikel Utusan Melayu (M) Bhd 
 

No comments:

Post a Comment