Search This Blog

Monday, September 8, 2014

Sindiket curi kereta mewah tumpas


TIGA buah kenderaan mewah yang dirampas selepas penahanan seorang lelaki di pengkalan Indah, Ipoh, Perak, Rabu lalu.
IPOH 7 Sept. - Kegiatan licik seorang lelaki yang bertindak sebagai orang tengah dengan menyimpan sementara kereta yang dilarikan sindiket curi kenderaan terbongkar apabila dia ditahan bersama tiga buah kenderaan mewah bernilai lebih RM1 juta, Rabu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, penahanan suspek berusia 41 tahun di sebuah rumah di Pengkalan Indah dekat sini berdasarkan risikan pegawai dan anggotanya dalam Ops Lejang.
Katanya, lelaki terbabit yang ditangkap kira-kira pukul 10 pagi itu dipercayai menyimpan kereta-kereta curi itu sebelum menyerahkan kepada pihak lain untuk dibawa masuk ke negara jiran.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri telah menahan lelaki itu dan merampas sebuah kereta BMW 325i dan Toyota Land Cruiser serta dua unit kunci kenderaan tersebut.
"Susulan daripada penahanan itu, pihak polis pada keesokan harinya kira-kira pukul 12.45 tengah hari telah pergi ke Jalan Seenivasagam di sini dan mendapati terdapat sebuah kereta jenis Lexus diletakkan dalam keadaan mencurigakan sebelum kenderaan itu dibawa ke IPK untuk siasatan," katanya di sini hari ini.
Mohd. Dzuraidi berkata, semakan mendapati ketiga-tiga kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan masing-masing dilaporkan hilang di Puchong, Kepong dan Pasir Puteh, Kelantan.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang bergiat aktif sejak setahun lalu mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah, curi kenderaan dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969.
"Modus operandi suspek selain menjadi orang tengah yang menyimpan kereta curi, lelaki itu turut mengaburi perbuatannya dengan meletakkan kenderaan tersebut di tempat-tempat awam," katanya.
Menurut Mohd. Dzuraidi, lelaki itu ditahan reman sehingga esok (Isnin) untuk siasatan lanjut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140908/je_04/Sindiket-curi-kereta-mewah-tumpas#ixzz3CfTeSZoK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment