Search This Blog

Monday, September 8, 2014

Seludup syabu guna kurier


NOOR Rashid Ibrahim (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang disorok dalam bag tangan sewaktu sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 5 Sept. - Biarpun pelbagai taktik digunakan oleh sindiket dadah antarabangsa, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman terus membuktikan keupayaan pasukan itu apabila berjaya mematahkan cubaan menyeludup syabu dianggarkan bernilai RM2.7 juta menggunakan perkhidmatan kurier.
Modus operandi yang digunakan mudah. Sindiket tersebut cuma menyorokkan dadah tersebut di dalam beg tangan wanita, permainan kanak-kanak dan katrij dakwat pencetak komputer yang kemudian dihantar dari China melalui perkhidmatan kurier terus kepada sindiket warga Nigeria di Malaysia.
Hasil maklumat orang ramai, JSJN melalui Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (Sting) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan empat lelaki warga Nigeria serta dua lelaki tempatan di sekitar Lembah Klang serta merampas 13.5 kilogram syabu dalam dua operasi berasingan.
Pengarah JSJN, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam serbuan pertama pada 2 September lalu, Sting dengan kerjasama JKDM menahan tiga lelaki warga Nigeria hasil pemantauan di beberapa lokasi di Lembah Klang serta merampas 7.04 kilogram syabu.
Katanya, susulan itu, polis menahan dua lelaki tempatan dan seorang lagi lelaki Nigeria yang dipercayai turut terlibat dengan sindiket itu serta merampas 69 beg tangan wanita dan sebuah kenderaan, semalam.
"Hasil pemeriksaan itu, kami mendapati 17 daripada 69 beg tersebut mengandungi 6.51 kilogram syabu. Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM2.7 juta.
"Suspek-suspek yang ditahan berumur di antara 27 hingga 44 tahun dan direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika didapati bersalah boleh dihukum gantung mandatori," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Rashid memberitahu, kebelakangan ini sindiket warganegara Nigeria aktif menggunakan perkhidmatan kurier untuk menyeludup masuk syabu.
"Kami masih mengesan aktiviti penyeludupan dadah membabitkan modus operandi tersebut dan akan meningkatkan pemantauan dengan kerjasama erat daripada JKDM," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140906/je_01/Seludup-syabu-guna-kurier#ixzz3CfUI76LL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment