Search This Blog

Tuesday, September 30, 2014

Sekolah di Shah Alam rosak akibat ribut petir


GURU Besar SK Bukit Jelutong, Datin Ramlah Asmuri (kanan) menunjukkan bumbung di kantin sekolah yang rosak dalam kejadian itu. - Foto Faiz Anuar
SHAH ALAM: Hujan lebat dan ribut petir di sekitar bandaraya ini petang tadi menyebabkan struktur beberapa blok bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jelutong di sini, mengalami kerosakan.
Hujan lebat dan dan ribut kira-kira pada jam 2.30 di sekitar bandaraya itu turut menyebabkan banyak bumbung bangunan pejabat di sekitar Seksyen U8,U2,8 dan 9 rosak dipukul ribut, manakala beberapa buah kereta dan motosikal yang diletakkan di tepi jalan dihempap pokok tumbang.
Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul, susulan hujan lebat kira-kira dua jam itu, dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan BBP Sungai Buloh dikejarkan ke beberapa lokasi kejadian, selepas menerima panggilan kecemasan.
"Kami menerima panggilan pada jam 2.45 petang memaklumkan terdapat kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan di sekitar Shah Alam. Sepanjang kira-kira dua jam hujan lebat, bomba menerima enam panggilan kecemasan yang membabitkan pokok tumbang, yang mana ada di antaranya menyebabkan kerosakan kepada kereta," katanya.
Beliau bagaimanapun, berkata setakat ini tiada orang awam dilaporkan mengalami kecederaan berikutan kejadian berkenaan.
Sementara itu, Guru Besar SK Bukit Jelutong, Datin Ramlah Asmuri, berkata pihaknya menganggarkan kerugian kira-kira RM100,000, selepas bumbung kantin, bilik darjah, komputer dan kelengkapan perabot rosak.
"Ini adalah kali kedua sekolah ini berdepan dengan kejadian ribut. Namun, kejadian kali ini dianggap lebih buruk berbanding kejadian pada 2012. Mujurlah tiada pelajar atau guru yang cedera ketika kejadian ini berlaku," katanya.
Beliau bagaimanapun, berkata kejadian itu tidak menjejaskan persiapan calon sekolah berprestasi tinggi untuk menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), pada hari ini.
"Kami sudah meneliti bilik darjah yang akan digunakan dan kami mendapati tidak ada sebarang kerosakan yang boleh mengancam keselamatan pelajar yang akan menjawab UPSR esok (hari ini.), tetapi semua pelajar kecuali tahun tiga diberi cuti sebagai langkah keselamatan," katanya.
Ketua Unit Pembangunan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana, Mohd Sabirin Noordin yang mengadakan lawatan di sekolah itu, berkata pihaknya akan memohon peruntukan khas daripada Jabatan Pelajaran Selangor, bagi membaiki struktur blok bangunan yang rosak.
"Kita akan utamakan untuk baiki kerosakan yang boleh membahayakan keselamatan pelajar terlebih dahulu, sebelum membaiki secara berperingkat untuk keseluruhan kerosakan," katanya.

No comments:

Post a Comment