Search This Blog

Wednesday, September 17, 2014

Sedih lihat keadaan jenazah anak


TEMERLOH 16 Sept. - Kerana sayang, Mohd. Ridzuan Ahmad Zubir, 37, yang bekerja sebagai pengurus jenama sebuah syarikat di Pulau Pinang nekad berhenti kerja dua tahun lalu bagi memberi tumpuan menjaga anaknya yang hiperaktif.
Bagi menanggung kos perubatan anaknya, Mohamad Khairiel Haqimie Mohd. Ridzuan, 12, yang tergolong dalam golongan orang kurang upaya (OKU) itu, dia juga menjual rumah dan keretanya untuk pulang ke kampung halaman di Kampung Sungai Rabit di sini.
Mohd. Redzuan juga mengambil keputusan untuk bekerja menjual burger pada waktu malam supaya dapat menjaga anaknya pada sebelah siang.
Namun kebakaran yang mengorbankan Mohamad Khairiel Haqimie di Kampung Sungai Ratib semalam begitu meruntun hatinya apatah lagi melihat pengakhiran hidup anak kesayangannya itu dalam keadaan sedemikian rupa.
"Dia hiperaktif dan tidak boleh bercakap serta amat rapat dengan saya dan kami selalu menghabiskan masa bersama sehinggalah dia tidur.
"Kehilangannya amat terasa dan saya terlalu sedih apabila melihat keadaan jenazahnya," katanya sambil menitiskan air mata.
Kata Mohd. Ridzuan, anaknya yang belajar di Sekolah Pendidikan Khas berhampiran perlu dijaga secara berterusan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya, dia menguruskan rutin harian anaknya termasuk memandikannya dan memberi ubat penenang pada waktu petang sebelum anaknya tidur.
"Sebelum kejadian, seperti biasa saya memandikan Mohamad Khairiel Haqimie dan memberinya makan ubat penenang sebelum pergi ke bandar Temerloh untuk membuka gerai burger.
"Seakan memberikan petanda, arwah yang biasanya aktif ketika mandi hanya diam sahaja dan tidak melompat-lompat seperti biasa. Kemudian dia terus tidur," katanya.
Dalam pada itu, datuk mangsa, Ahmad Zubir Osman berkata, kehilangan Mohamad Khairiel yang begitu rapat dengannya amat dirasai oleh seluruh ahli keluarga.
"Saya amat terkejut dengan kejadian ini. Kami telah menempah baju Melayu untuknya sempena majlis perkahwinan ibu saudaranya pada 12 Oktober nanti," katanya.
Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata, pada masa ini pihak bomba masih giat menyiasat punca sebenar kejadian dan kerugian akibat kejadian itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140917/je_04/Sedih-lihat-keadaan-jenazah-anak#ixzz3DWSVtUim
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment