Mohd Huzaimy (lima kiri) menyampaikan sumbangan Tabung Serambi Mekah kepada Tuan Ismail semalam.
Mohd Huzaimy (lima kiri) menyampaikan sumbangan Tabung Serambi Mekah kepada Tuan Ismail semalam.
BACHOK - Walaupun berada begitu hampir dengan api yang sedang marak di bilik belakang, seorang suri rumah langsung tidak menyedari kejadian kebakaran di rumahnya, di sini pada kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Kejadian berlaku ketika Tuan Ismaranizam Tuan Ismail, 37 sedang menyediakan hidangan makan tengah hari untuk ibu bapanya yang ke kebun kira-kira 200 meter dari rumah mereka.

Tuan Ismaranizam berkata, bilik belakang yang terbakar ketika dia sedang memasak itu terletak hanya dua meter dari dapur tetapi dia hanya menyedari kejadian itu setelah dimaklumkan oleh anak saudaranya.

Menurutnya, ketika itu anak saudaranya melalui kawasan depan rumah tersebut dan melihat api mula marak dari bahagian atas rumah.

"Kalau nak dikirakan jarak bilik belakang yang menjadi punca kejadian dengan dapur hanya kira-kira dua meter sahaja tetapi saya tidak menyedari bahang atau bunyi percikan api.

"Bila anak saudara beritahu mengenai kejadian, saya bergegas keluar tengok dan terus meluru ke rumah di jiran untuk minta tolong," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, ibunya Rahimah Jusuh, 60 memaklumkan, dia masih berada di kebunnya ketika kebakaran itu berlaku dan dimaklumkan oleh penduduk sejurus selepas kejadian.

Katanya, rumah binaan kayu itu telah didiami sejak 20 tahun lalu bersama suami, Tuan Ismail Tuan Mat, 66 dan Tuan Ismaranizam serta dua cucu perempuannya yang berusia lima dan enam tahun.

"Mulanya makcik tidak percaya apabila jiran memaklumkan kebakaran itu dan ingatkan mereka hanya bergurau. Tetapi bila balik ke rumah makcik dapati separuh daripada rumah sudah hangus dijilat api.

"Keseluruhan rumah musnah dalam kebakaran kira-kira 10 minit sahaja dan tidak banyak harta benda dapat diselamatkan. Kereta kami ada orang sempat tolak keluar dari kawasan rumah ketika kejadian," katanya.

Rahimah turut memaklumkan empat kucing peliharaannya juga mati dalam kebakaran itu kerana tidak sempat lari dan mungkin kerana asyik tidur di atas bantal baharu yang dijahit anaknya.

Tambahnya, nilai kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM170,000 termasuk semua peralatan elektrik, mesin jahit, perabot yang baru dibeli dan wang tunai hampir RM1,000.

"Makcik percaya kebakaran ini berpunca daripada litar pintas dalam bilik belakang rumah dan untuk sementara waktu, kami sekeluarga akan menumpang di rumah saudara berdekatan," katanya.

Adun Perupuk, Mohd Huzaimy Che Husin bersama Penolong Ketua Jajahan Pembangunan Fizikal, Nik Mahmud Nik Jaffar hadir menyampaikan sumbangan Tabung Serambi Mekah kepada keluarga berkenaan.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Rahimah dan keluarganya boleh mengubungi anak sulungnya, Tuan Rogayah di talian 017-985 1173 atau Tuan Rozaimi di talian 011-290 84678.