Haslinda (kanan) menenangkan Seridewi yang kehilangan rumahnya dalam kebakaran.
Haslinda (kanan) menenangkan Seridewi yang
kehilangan rumahnya dalam kebakaran.
LABIS – Kediaman seorang ibu tunggal di Kampung Orang Asli Sungai Lenek, Bekok, dekat sini, musnah dalam kebakaran, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengahari itu, ibu tunggal berkenaan, Seridewi Ayu, 46, berkata, dia berada di rumah jirannya sebelum diberitahu penduduk kampung bahawa rumahnya terbakar.

“Saya berlari pulang dan lihat api tengah marak. Saya tak sempat selamatkan barang-barang berharga, hanya mampu lihat rumah saya musnah," katanya.

Dia berkata, rumahnya yang merupakan rumah kayu dan keadaan waktu itu pula berangin menyebabkan api cepat marak.

"Ada orang kampung cuba padamkan api tetapi tak berjaya,” katanya.
Ibu dua anak itu berkata, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur sebelum merebak ke bahagian ruang tamu menyebabkan rumahnya hangus.

Katanya, dia tinggal bersendirian di rumah berkenaan kerana seorang anaknya sudah berkahwin, manakala seorang lagi tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekok.

“Saya tinggal sehelai sepinggang sahaja, semua barang dan dokumen lain hangus. Saya sedih sebab rumah ini banyak kenangan.
“Untuk bina semula rumah baru ambil masa, buat masa sekarang saya menumpang di rumah anak yang sudah berkahwin tidak berapa jauh dari sini,” katanya.

Katanya, kerugian dianggar kira-kira RM30,000 dan ketika kejadian, pihak bomba dari balai bomba sukarela Bekok mengalami kesukaran memadamkan api kerana tekanan air rendah.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Labis, Haslinda Salleh berkata, pihaknya terus ke rumah mangsa untuk memberi sumbangan selepas menerima laporan mengenai kebakaran berkenaan.

“Sumbangan ini daripada Wanita dan Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong. Kami tumpang simpati atas kesedihan dialami mangsa.

“Kami cuba membantu sedaya upaya memandangkan mangsa merupakan ibu tunggal dan masih trauma dengan kejadian ini,” katanya.