Search This Blog

Thursday, September 25, 2014

Reman 15 pegawai kastam dilanjut



SEBAHAGIAN daripada pegawai dan kakitangan JKDM menutup wajah dengan seluar dalam masing-masing ketika di bawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mendapat perintah lanjutan reman, semalam. - UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN
PETALING JAYA 24 Sept. - Beberapa pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dibawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk lanjutan tempoh tahanan reman hari ini sanggup mengetepikan perasaan malu dengan menyarung seluar dalam untuk menutup muka mereka.
Pelbagai gaya dilakukan dengan menggunakan seluar dalam masing-masing semata-mata untuk melindungi muka mereka daripada dikenali ramai dan dirakam oleh jurugambar akhbar dan jurukamera televisyen selain menyusahkan pergerakan kerana mata mereka turut ditutup.
Sebahagian lagi daripada 15 kakitangan dan pegawai JKDM itu yang kesemuanya memakai baju tahanan berwarna jingga, menutup muka dengan menggunakan baju.
Mereka sebelum itu tiba di mahkamah pada pukul 10.05 pagi dengan bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan turut ditemani kira-kira 40 ahli keluarga masing-masing.
Sebenarnya mereka tidak perlu 'bersusah-payah' menutup muka dengan seluar dalam sekiranya mereka tahu pihak media tidak dibenarkan menyiarkan wajah mereka selagi masih menjadi tahanan reman.
Pihak media hanya boleh menyiarkan wajah mereka selepas mereka dituduh di mahkamah.
Pada prosiding hari ini, kesemua mereka termasuk seorang pengarah negeri bergelar Datuk dilanjutkan tempoh tahanan reman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah untuk melepaskan arak dan rokok yang tidak diisytiharkan cukai.
Perintah reman sehingga 29 September ini dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid selepas membenarkan permohonan SPRM di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Daripada jumlah tersebut, 13 pegawai dan kakitangan JKDM terbabit sebelum ini direman selama tujuh hari mulai 18 September lalu manakala baki dua orang lagi dari Ipoh, Perak direman selama enam hari bermula 19 September lalu dan tamat pada hari ini.
Mereka disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2010.
Sejak awal bulan ini, sebanyak 27 kakitangan dan pegawai JKDM telah ditahan dan 10 daripadanya telah dihadapkan ke mahkamah di Kuala Lumpur, Shah Alam dan Ipoh, Perak.
Memetik laporan akhbar, pada 3 September lalu, SPRM telah menahan 24 individu termasuk 12 pegawai JKDM pelbagai pangkat yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan arak dan rokok di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dalam satu operasi khas di Lembah Klang dan Ipoh, Perak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140925/ma_01/Reman-15-pegawai-kastam-dilanjut#ixzz3EGkWHfqQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment