KUALA DUNGUN – Seorang remaja lelaki cedera selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta di simpang empat, dekat sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu dipercayai berlaku ketika Ang Wei Quan, 19, dalam perjalanan dari arah Jambatan Kuala Dungun menghala ke bandar.

Ketika tiba di lokasi kejadian, Wei Quan dipercayai gagal mengelak Proton Wira yang datang dari arah Sungai Udang, menyebabkan motosikalnya dirempuh hingga terperosok di bahagian hadapan kereta berkenaan.

Difahamkan, Wei Quan yang bekerja di sebuah kedai aksesori kenderaan, cedera di lengan dan dikejarkan ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan.

Pemandu terbabit yang juga peneroka berasal dari Felda Kerteh Tiga, Hashim Awang, 63 dan isterinya, Minah Aziz yang duduk di tempat duduk hadapan, bagaimanapun tidak cedera.

Polis masih menyiasat kemalangan berkenaan.

Sementara itu, penduduk, Hashim Deraman, 55, berkata, kemalangan kerap berlaku di simpang empat berkenaan.

Justeru katanya, dia mencadangkan pihak bertanggungjawab membina bonggol jalan bagi mengurangkan kelajuan kenderaan sebaik menghampiri simpang berdekatan stesen bas Kuala Dungun itu.

“Kalau boleh, biarlah dapat mengecat garisan kuning, bina bonggol atau papan tanda. Kalau tak buat apa-apa, tidak mustahil kejadian seperti ini akan berulang,” katanya.