Search This Blog

Monday, September 8, 2014

Penyamun kejam selubung ibu berpantang, bayi 5 hari


Maran: Empat penyamun berhati binatang apabila tergamak menjadikan seorang bayi lelaki yang baru lima hari dilahirkan sebagai mangsa apabila menyelubungnya dengan selimut dalam kejadian samun di Kampung Kandis Seberang, Chenor, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, bayi terbabit bagaimanapun selamat dan tidak mengalami sesak nafas apabila dipangku ibunya berusia 29 tahun yang turut diselubung dengan selimut berkenaan.


Turut mengalami nasib sama ialah suami dan adik perempuan kepada ibu bayi itu berusia 28 dan 26 tahun dan seorang lagi anak perempuan mangsa berusia dua tahun.



Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, sebelum kejadian, empat lelaki memakai topeng dan bersenjatakan parang menanggalkan cermin rumah sebelum memotong besi tingkap rumah mangsa.


“Siasatan awal mendapati suspek kemudian masuk ke dalam bilik tidur dan mengejutkan pasangan suami isteri itu dengan menggunakan parang sebelum mengarahkan mangsa mendiamkan diri jika mahu selamat,” katanya, semalam.


Menurutnya, suami mangsa bertindak menenangkan isterinya yang masih berpantang sebelum dua suspek mengejutkan adik perempuan mangsa serta anak perempuannya di bilik berasingan.

Menurutnya, penyamun kemudian mengarahkan semua mangsa berkumpul di dalam sebuah bilik sebelum seorang daripada mereka mengikat mangsa menggunakan tali kecuali bayi berkenaan.


Sulaiman berkata, selepas mengikat mangsa, empat penyamun terbabit meminta mereka menyerahkan wang dan barang kemas sebelum mengambil pelbagai jenis barang kemas milik mangsa.

Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

No comments:

Post a Comment