AYER KEROH - Tindakan tegas akan diambil terhadap penternak-penternak babi di Paya Mengkuang yang terus berdegil tidak mematuhi arahan ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kerajaan negeri memandang serius keengganan penternak terbabit mewujudkan sistem kolam kumbahan secara sistematik sehingga mengakibatkan pencemaran alam sekitar.

“Kerajaan negeri akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan tegas terhadap penternak babi mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan.

“Semua penternak perlu mematuhi arahan, antaranya pembuangan najis mesti ada kolam sistematik. Jika tidak ikut, kita ambil tindakan,” katanya di sini, semalam.

Idris berkata demikian susulan lawatan barisan Exco Kerajaan Negeri ke tapak penyembelihan babi sementara di Paya Mengkuang, kelmarin yang mendapati ramai penternak gagal menyediakan kolam kumbahan secara sistematik.

Antara yang melawat, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Ismail Othman; Exco Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Lai Meng Chong dan Exco Pengangkutan dan Pemulihan Projek, Lim Ban Hong.

Sebelum ini, pusat penyembelihan babi di Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Ayer Keroh dipindahkan ke lokasi itu dan mula beroperasi semalam.

Sementara itu, Idris berkata, penguatkuasaan undang-undang boleh dilaksanakan menerusi Enakmen Baharu Penternakan Babi yang akan diwartakan tahun depan selepas enakmen sebelum ini tidak diguna pakai sejak 1988.

Bagaimanapun, katanya, sebelum pelaksanaan enakmen berkenaan, tindakan akan dilakukan mengikut peraturan beberapa agensi terlibat; antaranya Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Parit dan Saliran selain Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).