Search This Blog

Tuesday, September 30, 2014

Pengarah Kastam KL antara 14 didakwa



Anggota polis mengiringi pegawai kastam yang didakwa atas tuduhan rasuah tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN
KUALA LUMPUR 29 Sept. - Seramai 14 pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) termasuk Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Isa Endot dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan di sini hari ini atas 49 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM73,600.
Mereka didakwa menerima wang suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan penyeludupan arak yang tidak dibayar cukai antara November 2011 dan Ogos tahun ini.
Lapan pegawai dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini atas 25 pertuduhan menerima rasuah antara RM200 dan RM4,000 melibatkan wang suapan berjumlah RM31,200 antara November 2011 dan 20 Ogos lalu.
Sementara Mohd. Isa dan tujuh pegawai didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam termasuk dua yang sebelum itu menghadapi tuduhan di ibu negara pada sebelah pagi, atas 24 pertuduhan melibatkan wang suapan RM42,400 antara Mac 2013 dan Ogos tahun ini.
Tertuduh-tertuduh yang sebelum ini menggunakan seluar dalam sebagai topeng untuk menutup muka mereka semasa dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk lanjutan tempoh reman pada 24 September lalu, hari ini tiba di mahkamah dengan menutup muka menggunakan baju.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing.
Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd. Isa, 55, didakwa atas empat pertuduhan menerima rasuah wang berjumlah RM8,000 sebagai bayaran bulanan dan wang perlindungan bagi melicinkan segala urusan kastam sebuah syarikat.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pejabatnya di aras 5, Blok C, Wisma Kastam Kelana Jaya, antara Mei dan Ogos lalu.
Hakim Datuk Noradidah Ahmad membenarkan Mohd. Isa diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Turut dituduh ialah Penolong Kanan Pengarah Kastam II Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Azman Wan Ali, 47; Penguasa Kastam Bahagian Penguatkuasaan Kuala Lumpur, Shamsul Anwar Mohd. Radzi, 32, dan Pegawai Kastam Kanan bahagian sama, Azlee Mohamed Yusof, 48.
Ini merupakan pertuduhan kali ketiga buat Azlee yang sebelum ini turut dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan di sini.
Yang lain ialah Pegawai Kastam Kanan, Bahagian Perkhidmatan Teknik, Wisma Kastam Selangor, Mohamad Helmi Burhanudin, 37; Pembantu Penguasa Kastam Bahagian Penguatkuasaan Kuala Lumpur, Mohamad Fauzi Kamsar, 33; Pembantu Penguasa Kastam Bahagian Penguatkuasaan Kuala Lumpur, Mohamed Rozlan Ibrahim, 57, dan Penolong Kanan Pengarah Kastam II Cawangan Risikan Zon Tengah Pejabat Kastam Putrajaya, Jamaludin Zam Zam, 54.
Noradidah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin antara RM3,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sementara menunggu sebutan kes pada 30 Oktober ini.
Sementara itu, lapan pegawai yang dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini antaranya ialah Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Cawangan Siasatan Khas, Ibu Pejabat Wilayah Persekutuan Putrajaya, Som Chit Tiang, 48; Jamaludin dan Mohamed Rozlan.
Yang lain ialah Pembantu Penguasa, Cawangan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan, Pelabuhan Utara, Selangor, Mahadir Mohamad, 37; Pembantu Penguasa, Ibu Pejabat Kastam, Dengkil, Amran Ismail, 35; dan Pembantu Penguasa, Unit Risikan Khas, Cawangan Risikan, Ibu Pejabat Kastam Putrajaya, Kamarul Asmady Ismail, 35.
Pembantu Penguasa, Cawangan Import Eksport, Kastam Lumut, Perak, Sahbandi Abdul Manap @ Asly, 36; dan Pembantu Penguasa, Bahagian Kastam Taiping, Perak, Abdul Rahman Ahmad, 35, turut didakwa di mahkamah tersebut.
Kesemua pertuduhan didakwa dilakukan di antara November 2011 dan 20 Ogos lalu.
Masing-masing yang berdepan antara satu dan lima pertuduhan didakwa di hadapan Hakim Allaudeen Ismail dan Hakim Rosbiahanin Ariffin.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan antara RM5,000 dan RM25,000 berserta seorang penjamin serta diperintah menyerahkan pasport dan dokumen perjalanan yang lain kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Oktober ini.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang tinggi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140930/ma_01/Pengarah-Kastam-KL-antara-14-didakwa#ixzz3Ek4BMNxn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment