Search This Blog

Thursday, September 11, 2014

Pemuda maut dihempap dahan, tersepit atas pokok


MAT Saad Putih menunjukkan pokok pukul lima tempat Mohd. Fakrul Rozi maut dihempap dahan ketika mencari madu kelulut di Pendang, Kedah, semalam. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN
PENDANG 10 Sept. - Seorang pemuda yang memperoleh rezeki dengan mencari sarang kelulut maut dihempap dahan pokok sebesar satu pemeluk di Kampung Asam Jawa, Mukim Padang Pusing, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa, Mohd. Fakrul Rozi Zainodin, 27, meninggal dunia dalam keadaan tersepit di dahan pokok pukul lima setinggi 30 meter.
Mayat pemuda itu hanya dapat dikeluarkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dari atas pokok itu kira-kira pukul 10.30 malam semalam.
Mangsa dan seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Amran, 20-an, dikatakan mencari sarang kelulut di pokok sebesar tiga pemeluk itu yang terletak di kawasan perkuburan lama untuk dijual kepada pihak lain dengan harga RM150 untuk satu sarang.
Seorang rakan mangsa, Mat Saad Putih, 57, memberitahu, Mohd. Fakrul Rozi menelefonnya semalam bertanyakan sarang kelulut di pokok yang terletak berhampiran sawah miliknya.
"Saya beritahu dia (Mohd. Fakrul Rozi) ada sarang kelulut di atas pokok ini dan dia pun datang bersama seorang rakannya kira-kira pukul 7 petang untuk mengambil sarang tersebut.
"Mereka memanjat pokok ini dan memotong satu dahan, namun dahan itu terjatuh lalu tersangkut pada dahan lain, saya mula rasa tidak sedap hati dan menyuruh mereka menyambung semula kerja ini esok namun mereka enggan," katanya ketika ditemui di Kampung Asam Jawa, Mukim Padang Pusing, di sini hari ini.
Menurut Mat Saad, dia kemudiannya pulang ke rumah yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian kerana waktu solat maghrib semakin hampir.
"Tidak lama kemudian dalam pukul 7.30 malam saya terima satu panggilan telefon daripada rakan yang memberitahu Mohd. Fakrul Rozi dihempap dahan pokok tersebut," katanya.
Dalam pada itu, ibu mangsa, Roshidah Omar, 50, ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berkata, Mohd. Fakrul Rozi yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik itu tinggal bersama datuknya di Kampung Paya Sulaiman dekat sini.
"Saya berjumpa dengannya pada Hari Raya Aidilfitri lalu dan dia memang cekap memanjat pokok, saya reda dengan kejadian ini," katanya yang memberitahu jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Kelisa, Sungai Petani hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Supritendan Abdul Aziz Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140911/je_05/Pemuda-maut-dihempap-dahan-tersepit-atas-pokok#ixzz3D1Jwh2h5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment