Search This Blog

Sunday, September 14, 2014

Pemilik restoran nyaris maut


Chong May Lon menunjukkan keadaan kereta Toyota Vios kepunyaannya yang rosak terkena sebutir bom di kawasan rumahnya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Kampung Baru Subang, Subang, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 13 Sept. - Seorang pemilik restoran nyaris maut setelah kereta dipandunya rosak akibat terlanggar sebutir bom tangan yang dipercayai sengaja diselitkan pada satu bongkah batu di hadapan rumahnya di Jalan 4 Delta, Kampung Baru Subang dekat sini, hari ini.
Berikutan kejadian pada pukul 6.45 pagi itu, kereta Toyota Vios tersebut berlubang di bahagian bawah manakala dalam but pula rosak teruk.
Mangsa, Chong May Lon, 40, memberitahu, dia baru sahaja keluar rumah untuk ke restorannya di Kampung Melayu Subang sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi letupan kuat ketika memberhentikan kereta untuk memasuki simpang ke jalan utama.
Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira 20 meter dari rumahnya dan jalan tersebut hanya digunakan oleh keluarganya sahaja.
"Saya terkejut malah kereta saya terangkat sedikit. Mulanya saya ingat tayar kereta saya pecah kerana melanggar satu bongkah batu namun apabila turun dari kereta, saya melihat bahagian dalam but kereta rosak teruk," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Menurutnya, dia bergegas masuk semula ke dalam rumah untuk mendapatkan suami dan keluarganya.
"Rupa-rupanya mereka turut dikejutkan dengan bunyi letupan itu dan apabila kami mengalihkan kenderaan tersebut, baru kami mengetahui terdapat sebutir bom yang diselitkan di satu bongkah batu seberat 10 kilogram di tengah-tengah jalan.
"Kami turut menemukan picu seperti yang biasa dilihat pada ciri-ciri sebutir bom tangan malah perkara itu disahkan sendiri oleh pihak berkuasa," ujarnya.
Dia yang masih trauma akibat letupan itu memberitahu, kejadian mungkin lebih teruk jika dua anaknya yang berusia 14 dan empat tahun berada dalam kereta berkenaan.
"Mujurlah hari ini anak-anak tidak mengikuti saya kerana tidak bersekolah. Saya tidak dapat bayangkan keadaan itu jika mereka ada kerana bom tersebut mengenai bahagian belakang kereta," ujarnya.
Ditanya sama ada keluarganya mempunyai musuh, May Lon menafikan perkara itu dan berkata, mereka berbaik dengan semua orang dan sebelum ini tidak menerima sebarang ugutan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu, pihaknya kini menjalankan siasatan rapi tentang perkara itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140914/je_01/Pemilik-restoran-nyaris-maut#ixzz3DG5fTSOP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment