Search This Blog

Thursday, September 25, 2014

Pembantu am didakwa rasuah


IPOH 24 Sept. - Seorang pembantu am rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada jirannya sebagai dorongan untuk menarik semula laporan polis yang dibuat oleh anaknya, tahun lalu.
Sanusi Abdul Rashid, 57, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Madihah Hairullah.
Mengikut pertuduhan pertama, Sanusi didakwa meminta suapan wang RM30,000 daripada Badrun Abdul Hadi bagi tujuan tersebut di hadapan Blok A, Kuarters Institut Pendidikan Air Panas, Gerik kira-kira pukul 9.30 pagi, 17 Ogos 2013.
Tertuduh turut didakwa meminta rasuah RM7,000 daripada mangsa melalui satu perbualan telefon di Pusat Khidmat Pelanggan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Takong Dato, Gerik kira-kira pukul 4.10 petang, 20 Ogos 2013.
Bagi pertuduhan ketiga, bapa kepada sembilan anak itu didakwa menerima suapan RM7,000 daripada Badrun di pondok awam berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik dekat sini kira-kira pukul 4 petang, 23 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mukhriz Mat Rus manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhaimin Aris.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan sebutan kes pada 28 Oktober ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140925/ma_03/Pembantu-am-didakwa-rasuah#ixzz3EGmGMDEy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment