Search This Blog

Thursday, September 25, 2014

Pegawai kastam didakwa terima rasuah


REDZUAN Ali menutup mukanya dengan kain ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, semalam.
IPOH 24 Sept. - Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM500, Julai lalu.
Redzuan Ali, 35, yang bertugas di bahagian Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan berkenaan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Madihah Hairullah.
Lelaki itu didakwa menerima suapan wang tunai tersebut tanpa balasan daripada seorang individu melalui individu lain walhal individu pertama itu mempunyai urusan rasmi dengannya semasa bertugas di Bahagian Cukai Dalam Negeri, JKDM Selangor dari 2012 hingga 2013.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank cawangan Ipoh Garden pada pukul 1.41 petang, 27 Julai lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Husmarudin Husin mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Husmarudin menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Redzuan namun peguam, Mohd. Fadly Hashim yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM3,000 atas alasan anak guamnya menanggung seorang isteri dan empat anak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 berserta seorang penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Mahkamah menetapkan 21 Oktober ini untuk pengurusan kes.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140925/ma_02/Pegawai-kastam-didakwa-terima-rasuah#ixzz3EGl3a637
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment