Search This Blog

Tuesday, September 30, 2014

Pasangan kekasih direman 7 hari bantu kes penemuan mayat kanak-kanak

BUKIT MERTAJAM: Sepasang kekasih direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, yang dipercayai dibunuh dan dibuang dalam semak berhampiran ladang sawit di Kampung Tongkang, Permatang Tinggi di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, berkata wanita berusia 30 tahun, yang juga ibu kepada kanak-kanak berkenaan dan teman lelakinya, 24, direman bermula hari ini.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan penahanan pasangan kekasih ini diharap dapat membantu siasatan polis," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mayat kanak-kanak itu ditemui kira-kira 12 tengah hari semalam oleh sepasukan polis selepas hasil siasatan terhadap ibu kanak-kanak itu, yang melaporkan kehilangan anaknya semasa bersiar-siar di Padang Kota, George Town, Selasa lalu.
Wanita itu ditahan selepas memberikan keterangan bercanggah dan mencurigakan.
Hasil siasatan lanjut mendapati wanita yang menganggur itu mengaku memukul anaknya hingga mati di rumah mereka di Kulim, Kedah sebelum membuang mayat kanak-kanak itu di kawasan semak di Kampung Tongkang.
Rusli berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu yang dijalankan di Hospital Seberang Jaya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya mengubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment