Search This Blog

Tuesday, September 30, 2014

Ops Godam ATM dilancar buru suspek


KUALA LUMPUR 29 Sept. - Polis melancarkan Ops Godam ATM susulan 14 kejadian godam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang berlaku sejak kelmarin sehingga menyebabkan empat bank mengalami kerugian dianggarkan hampir RM3 juta.
Pasukan yang dianggotai oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan polis kontinjen negeri akan diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) (Jenayah Siber dan Multimedia), Senior Asisten Komisioner Mohd. Kamarudin Md Din.
Mohd. Kamarudin berkata, operasi memburu ini akan dibuat secara besar-besaran agar kesemua yang terlibat dapat diberkas dalam masa terdekat.
"Maklumat siasatan kini adalah berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di setiap premis yang terlibat.
"Kita percaya anggota sindiket yang dikatakan berasal dari Amerika Latin dan Asia Barat itu masih berada di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Kamarudin berkata, polis turut mengaktifkan pemantauan di setiap pintu masuk negara sama ada melalui jalan darat, laluan laut dan laluan udara.
"Gambar suspek hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kini disebarkan di seluruh negara termasuk bagi tujuan pemantauan di pintu masuk ke negara ini," katanya.
"Malah, pihak bank terlibat juga sedang menjalankan semakan bagi menentukan tarikh sebenar kejadian yang menimpa institusi masing-masing bagi membantu siasatan kita," ujarnya lagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140930/je_03/Ops-Godam-ATM-dilancar-buru-suspek#ixzz3Ek5DGcs2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment