Search This Blog

Monday, September 8, 2014

Negara hilang RM4 bilion sejak tahun 2011


PEGAWAI SPRM membawa 12 pegawai dan anggota JKDM ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor, semalam untuk mendapatkan perintah reman.
KUALA LUMPUR 4 Sept. - Sikap rakus segelintir pihak mencari kekayaan melalui cara memberi dan menerima rasuah menyebabkan negara kehilangan pendapatan kira-kira RM4 bilion daripada duti dan cukai yang sepatutnya diterima sejak 2011 daripada kemasukan arak serta rokok di Zon Perdagangan Bebas Cukai, Pelabuhan Klang, Selangor.
Ketirisan itu dilihat terlalu besar memandangkan dengan jumlah tersebut, kerajaan boleh membina tidak kurang 50 buah sekolah yang boleh menampung 900 pelajar serta lengkap dengan kemudahan asrama.
Tidak hairanlah, kerajaan melalui pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited dalam mencari penyebab ketirisan itu berlaku sehingga tertangkapnya 24 individu termasuk 12 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pelbagai pangkat, semalam.
Difahamkan, operasi besar-besaran itu adalah sambungan Op 3B SPRM yang tergendala ekoran seorang pegawai JKDM yang ditemui mati di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada April 2011.
Pada ketika itu, 62 anggota dan pegawai JKDM ditahan untuk siasatan berhubung kerugian akibat ketirisan yang dianggarkan berjumlah RM108 bilion.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, anggaran ketirisan kes terbaharu tersebut berdasarkan analisis yang dilakukan ke atas borang kastam dan borang Zon Bebas sejak 2011.
"Sindiket tersebut dipercayai menggunakan cara membawa masuk rokok dan arak bermutu tinggi dari Scotland, Sweden, Kemboja, India, Thailand dan Indonesia yang bernilai RM1.67 bilion dengan nilai cukainya 300 peratus daripada nilai barangan tersebut untuk disimpan di PKFZ.
"Bagaimanapun, sindiket dengan bantuan pegawai JKDM membawa keluar barangan berkenaan untuk dipasarkan ke dalam negara dengan membuat pengisytiharan palsu yang hanya berjumlah RM420 juta," katanya dalam sidang akhbar khas di pejabat SPRM di sini hari ini.
Semalam, SPRM dilaporkan berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan arak serta rokok terbesar dengan penahanan 22 individu termasuk seorang pegawai JKDM berpangkat pengarah dari sebuah negeri di utara Semenanjung.
Mohd. Shukri seterusnya memberitahu, pihaknya berjaya menahan dua lagi individu semalam yang sehingga kini menjadikan jumlah mereka yang ditahan adalah seramai 24 orang iaitu 12 pegawai Kastam serta 12 lagi adalah ahli sindiket tersebut yang berumur antara 36 hingga 56 tahun.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kejayaan tersebut adalah hasil daripada operasi bersepadu satu pasukan khas yang diketuai oleh SPRM yang dibantu oleh Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta beberapa agensi lain sejak setahun lalu.
"Tindakan susulan untuk menilai cukai itu sedang diambil oleh LHDN dan Kastam membabitkan duti eksais serta operasi ini masih diteruskan serta dijangkakan beberapa tangkapan lagi akan dilakukan," ujarnya.
Sementara itu, katanya, 12 pegawai dan anggota JKDM, termasuk seorang Pengarah Kastam negeri yang ditahan SPRM semalam direman selama tujuh hari mulai hari ini selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor bagi membantu siasatan.


Artikel Utusan Melayu (M) Bhd 
 

No comments:

Post a Comment