Noraini (tiga, kiri) bersama wakil penduduk melihat kerosakan di dewan orang ramai.
Noraini (tiga, kiri) bersama wakil penduduk
melihat kerosakan di dewan orang ramai.
KUALA SELANGOR – “Makcik terkejut dengar angin kuat dengan petir lepas makcik solat Asar..nak sambung rewang masak tak jadi bila terkejut tengok khemah tumbang,” demikian kata seorang warga emas, Zainah Merak, 66, kepada Sinar Harian, kelmarin.

Sebelum kejadian ribut melanda Taman Bukit Badong itu kira-kira jam 5 petang itu, Zainah bersama jirannya rewang masak untuk kenduri tahlil jiran berhampiran rumahnya sebelum dikejutkan bunyi angin kuat dan hujan lebat.

Menurutnya, dia dan jirannya kaku dan hanya mampu menangis sambil masing-masing berdoa keselamatan diri apabila melihat musibah ribut depan mata.

“Masa itu makcik dekat tepi rumah berhampiran pokok sebab tempat rewang di luar rumah, bila tengok pokok bergoyang, masa itu makcik hanya mampu berdoa supaya pokok itu tak tumbang.

“Masa itu juga, dua khemah tumbang sebab angin kuat sangat, semua perempuan dan jiran minta anak lelaki dia yang kebetulan ada dekat situ supaya laungkan azan dan tak lama selepas itu ribut pun reda.

“Hati makcik tak sedap bila jiran-jiran pakat balik nak tengok rumah sebab ada bumbung rumah mereka diterbangkan angin. Makcik minta izin nak balik sebab nak tengok rumah, lagipun rumah masa itu kosong tak ada orang,” katanya.


Ruang tamu habis basah

Zainah berkata, dia terkejut apabila ruang tamunya dilimpahi air hujan selepas bumbung di bahagian tengah diterbangkan angin.

“Makcik sebak bila tengok ruang tamu dan dapur rumah dah penuh air paras buku lali makcik. Habis kusyen, tilam dan baju basah kena hujan.

“Memang makcik tidur dalam basah malam tadi sebab dinding menitis air sebab bumbung rumah bersambung rumah jiran dan bila bumbung rumah sebelah rosak, rumah makcik pun kena.

“Makcik rasa ini kejadian ketiga sebab sebelum ini pernah terjadi dan masa itu Cikgu Parthiban jadi Adun Ijok, sekarang ini Adun Ijok yang baru ada datang melawat,” katanya.


Bantuan logistik, pembersihan

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan yang berkunjung bersama Adun Ijok, Dr Idris Ahmad ke Taman Bukit badong turut bersimpati dengan musibah yang menimpa penduduk.

“MDKS bantu dari segi pembersihan pokok yang tumbang selepas ribut dan mengenal pasti beberapa pokok yang reput untuk dibersihkan.

“Selain itu bantuan dari segi logistik diberikan dan mengenal pasti beberapa kemudahan dewan yang di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Musibah ribut yang melanda Dun Ijok menjejaskan hampir 30 rumah di kawasan taman perumahan, lapan rumah di kampung tradisi dan dua lagi rumah penduduk India.

Sinar Harian difahamkan, bangunan Tabika Kemas Bukit Badong turut terjejas teruk apabila mengalami kerosakan barangan elektrik, manakala bumbung dewan, kantin sekolah dan perpustakaan sedia ada juga rosak.