Search This Blog

Wednesday, September 17, 2014

Mayat tertiarap ditembak di kepala



Sungai Petani: Mayat seorang lelaki berusia 30-an ditemui mati dalam keadaan tertiarap oleh seorang penternak lembu dalam kejadian di ladang kelapa sawit Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri, dekat sini, pagi semalam.

Mayat lelaki terbabit ditemui jam 9 pagi di ladang berkenaan ketika penternak terbabit mencari lembunya yang dilepaskan di kawasan ladang berkenaan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda Deputi Superintendan Ricky Tey berkata, polis yang menerima maklumat itu kemudian bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat lelaki dalam keadaan tertiarap.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap mayat itu polis menemui satu kesan tembakan di kepala mangsa dan percaya mangsa mati akibat tembakan itu.

Menurutnya, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan pada mayat terbabit.

“Siasatan mendapati mangsa dipercayai dibawa ke ladang kelapa sawit berkenaan antara jam 1 hingga 5 pagi sebelum ditembak di kepala dan ditinggalkan dikawasan terbabit.

“Polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa serta suspek yang melakukan perbuatan itu.



Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

“Orang ramai yang mengetahui kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

No comments:

Post a Comment