BANDARAYA MELAKA - Seorang adik tidak mampu berkata-kata dan terus bertindak terjun ke dalam longkang untuk mengangkat abangnya yang sudah tidak bernyawa, di Kampung Pasir Putih, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, Mohd Firdaus Fadella, 19, bertindak terjun selepas melihat susuk tubuh dengan pakaian milik abangnya Mohd Fazlie, 30, dalam keadaan terlangkup di dalam longkang.

Mohd Firdaus yang menyangka terdapat kemalangan selepas melihat orang ramai mengerumuni longkang, menghampiri kawasan terbabit sebelum menyedari kejadian malang itu sebenarnya menimpa abangnya sendiri.

“Saya mencari abang, kerana dia tidak pulang ke rumah selepas keluar membeli roti canai sejak jam 4 pagi, sebelum terlihat orang ramai di longkang terbabit.

“Saya sangka mereka melihat kemalangan, tapi bila sampai di situ bertapa luluhnya hati saya melihat jasad abang dalam keadaan tertangkup di dalam longkang dan tidak lagi bergerak,” katanya ketika menceritakan kejadian yang menimpa anak kedua daripada empat beradik itu semalam.

Menurutnya, dia kemudian turun ke dalam longkang lalu mengangkat jasad ke atas tebing sambil memangku tubuh kaku itu sebelum orang ramai menghubungi polis serta ambulans.

Ibu mangsa, Rohana Mahmud, 54, pula berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian selepas dihubungi rakan Mohd Firdaus lalu bergegas ke lokasi.

“Saya seperti tidak percaya kerana kali terakhir berbual dengannya kira-kira jam 3 pagi tadi (semalam) sebelum dia masuk ke dalam bilik untuk tidur.

“Hati ibu mana yang tidak sedih apabila melihat anak terbaring kaku dan wajah serta mulutnya dipenuhi lumpur, melihat keadaan itu saya sempat membersihkan lumpur di mukanya sebelum anggota paramedik yang tiba mengesahkan Mohd Fazlie sudah meninggal dunia,” katanya.

Rohana berkata, arwah mengidap diabetes tahap kronik sehingga terpaksa berhenti sebagai pekerja kontrak di sebuah agensi kerajaan kerana kerap cuti sakit selain pernah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Razali Bakar ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan mayat berkenaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka dan laporan bedah siasat mendapati tiada sebarang unsur jenayah dapat dikaitkan atas kematian mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.