Search This Blog

Wednesday, September 17, 2014

Maut dihempap kren



ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat Chia Ser Heeno yang tersepit akibat dihempap kren kendaliannya di sebuah tapak pembinaan di Bandar Country Homes, Rawang, semalam.
KUALA LUMPUR 16 Sept. - Dalam keadaan hujan lebat, Chia Ser Heeno, 47, yang sedang mengendalikan kren bagi mengangkat besi di sebuah tapak pembinaan di Bandar Country Homes, Rawang dekat sini mendapati jentera berat itu tiba-tiba senget.
Panik dengan situasi itu, Ser Heeno bertindak melompat keluar, namun malangnya jentera seberat kira-kira 30 tan itu terus menghempapnya menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, pasukan bomba yang dimaklumkan insiden itu kira-kira enam jam kemudian mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.
Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.02 tengah malam dan menghantar sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang ke lokasi.
"Setiba di lokasi, pihak penyelamat mendapati mangsa dalam keadaan tersepit dan dipercayai telah meninggal dunia.
"Setelah berjaya dikeluarkan, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan struktur tanah di lokasi tersebut menjadi lembut akibat hujan hingga menyebabkan jentera berat itu tidak stabil lalu menghempap mangsa yang cuba menyelamatkan diri.
Katanya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140917/je_02/Maut-dihempap-kren#ixzz3DWRJS800
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment