GEORGETOWN - Seorang pemandu forklif maut apabila dihempap kenderaanya sendiri dalam satu kejadian di Jalan Sungai Dua di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, Teh Chim Hock, 44, dikatakan cuba mendapatkan bantuan daripada seorang pemandu lori selepas forklifnya tersangkut dalam lopak dipenuhi lumpur.

Bagaimanapun, ketika lori sedang menarik forklif berkenaan kenderaan itu tidak seimbang dan terbalik sebelum menghempap mangsa.

Menceritakan semula kejadian, pemandu lori berkenaan, Lye Meng Ewe, 29, berkata, dia tidak sempat berbuat apa-apa selepas melihat mangsa mengelupur dihempap forklif seberat empat tan itu.

Meng Ewe berkata, ketika itu sedang memandu lori di kawasan terbabit dan mangsa yang melakukakn kerja meratakan jalan meminta bantuannya menarik forklif yang tersangkut dalam lumpur.

“Saya membantu menarik forklif berkenaan dan mangsa berada dalam jenteranya itu namun selepas berjaya menarik keluar forklif berkenaan menjadi senget dan terbalik.

“Mangsa ketika itu cuba melompat keluar bagaimanapun dia tersalah langkah menyebabkan jentera itu menghempap tubuhnya hingga dia maut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Meng Ewe berkata, dia dan beberapa lagi rakan sekerja tidak sempat membantu menyelamatkan mangsa kerana forklif itu terlalu berat sebelum mereka menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

“Saya lihat mangsa menggelupur beberapa saat namun dia terdiam kaku selepas itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri,Superintendan Ibrahim Abu Bakar mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.