Search This Blog

Wednesday, September 17, 2014

Mangsa meninggal dunia


Seremban: “Kami sekeluarga sempat mengucup dahinya sebelum dia menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.40 pagi tadi (semalam),” kata Sabarila Husin, 46, ibu Muhamad Hidayat Ramlan, 23, yang meninggal dunia selepas sembilan hari dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, akibat parah dirempuh bot yang menarik bot pisang, 7 September lalu.
Kejadian berlaku pada jam 10 pagi ketika Muhamad Hidayat mandi di Pantai Dataran Telok Kemang, Port Dickson, dekat sini, menyebabkan anak sulung daripada lima beradik itu parah pada paru-paru selain patah tulang rusuk kiri dan menerima lebih 10 jahitan pada lengan kiri.
Sabarila berkata, suaminya, Lans Koperal Ramlan Pardi, 50, yang bertugas dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) dimaklumkan doktor mengenai keadaan anaknya yang semakin kritikal kelmarin.
“Keadaan arwah bertambah tenat awal pagi tadi (semalam).
Sebelum arwah meninggal, dia membuka matanya meminta saya, suami dan empat adiknya bergilir mencium dahinya.

Sebaik anak bongsu saya berusia 13 tahun mencium dahinya, dia menghembuskan nafas terakhir.
“Semua adik arwah sedih dengan pemergian abangnya itu, namun saya sebagai ibu perlu tenangkan mereka.
Foto
JENAZAH Muhamad Hidayat dibawa untuk dikebumikan.

Saya reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HTJ, di sini, semalam.
Jenazah Muhamad Hidayat dituntut keluarganya untuk dibawa pulang ke Kuarters Perumahan Polis Desa Baiduri, Cheras, Kuala Lumpur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana, selepas solat Zuhur, semalam.
Ramlan pula berkata, dia berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap semua pihak yang terbabit dengan kejadian berkenaan demi kepentingan awam.
“Saya diberitahu perkhidmatan bot pisang tidak mempunyai insurans.

Sebelum ini ada beberapa kes kematian dilaporkan membabitkan bot pisang dan saya mahu semua pihak memandang serius perkara ini.
“Saya lihat segelintir pemandu bot yang menarik bot pisang memandu laju dan melulu hingga membahayakan nyawa pengunjung yang mandi, malah arwah juga dilanggar ketika mandi tidak jauh dari pesisir pantai,” katanya.
Menurutnya, pihak tertentu sepatutnya menyediakan laluan khas untuk bot masuk dan keluar bukan di kawasan pengunjung mandi, selain memantau pengusaha yang menjalankan perkhidmatan tanpa insurans dan pemandu bot tiada lesen.
Harian Metro semalam melaporkan, pemandu bot yang melanggar Muhamad Hidayat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini dan mengaku bersalah.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

No comments:

Post a Comment