GUA MUSANG – Pertembungan dua lori di Kilometer 74 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Kampung Sungai Bayu, di sini, petang kelmarin meragut nyawa seorang pemandu lori dan menyebabkan seorang kelindan parah.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 5.30 petang dan mangsa, Airy Suparman Abdullah, 38 berasal dari Kampung Cita Jaya, Tanah Merah maut di tempat kejadian.

Kelindannya, Mohamad Sayuti Mat Kasim, 21 cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Krai (HKK) manakala pemandu sebuah lori lagi, Ab Dollah Awang, 61, berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RPT) Kesedar Chalil tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, semasa kejadian, mangsa bersama kelindannya dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai selepas selesai kerja baik pulih jalan.

Menurutnya, sampai di lokasi kejadian, lori dinaiki mangsa bertembung dengan lori membawa muatan sawit dipandu Ab Dollah yang datang dari arah bertentangan.

"Kedua-dua lori terbabit remuk dan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang terpaksa dipanggil untuk membantu mengeluarkan mangsa.

"Kejadian turut menyebabkan kesesakan lalu-lintas namun dapat dikawal sebaik sahaja anggota polis tiba di tempat kejadian," katanya.

Tambahnya, Mohamad Sayuti dilaporkan berada dalam keadaan stabil di HKK dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berhati-hati terutama pada musim cuti sekolah sekarang ini.

"Polis akan buat rondaan di semua jalan raya bagi memastikan undang-undang dipatuhi dan perjalanan orang ramai ke destinasi yang dituju lebih selamat," katanya.