Laporan Sinar Harian semalam
Laporan Sinar Harian semalam
KUALA LUMPUR – Polis buru lima penjenayah warga Amerika Latin yang dipercayai terlibat dengan kegiatan melarikan RM1.271 juta daripada enam mesin pengeluaran wang tunai (ATM) sebuah bank yang sama di Johor dan Selangor, Sabtu lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Komersial) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Hamza Taib berkata, suspek berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an itu dipercayai menggunakan sim kad telefon dan teknologi canggih untuk menggodam ATM.

“Kita akan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengumpul maklumat berhubung kegiatan jenayah yang dilakukan oleh sindiket yang dipercayai terdiri daripada tiga hingga lima orang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, gambar suspek yang berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) sudah diedarkan ke seluruh pintu masuk negara bagi tujuan pemantauan agar suspek tidak boleh melarikan diri.

Kejadian penggodaman mesin ATM itu merupakan jenayah pertama berlaku di negara ini selepas jenayah mencuri wang melalui pengklonan kad ATM berlaku sejak 1997 sehingga 2002.

Hamza berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan persatuan bank bersama Malaysian Risk Management Task Force bagi meningkatkan kawalan keselamatan.

“Kita telah menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes tersebut, kita turut menyarankan syarikat perbankan lain agar lebih berwaspada, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, siasatan awal berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati cakera optik dan kad sim itu dimasukkan kumpulan terbabit bagi mengumpul data dan
kata laluan ATM untuk suatu tempoh.

Katanya, kumpulan terbabit kemudian kembali ke ATM berkenaan sebelum mengeluarkan semula cakera optik dan kad sim yang dimasukkan itu menggunakan alatan khas.

Sabtu lalu, sejumlah RM1.271 juta dicuri daripada enam ATM yang terletak di Johor Baharu, Batu Pahat dan Taman Molek di Johor, Melaka Raya, selain PJ State dan USJ di Selangor.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997.