MARAN - Seorang lelaki ditemui tidur dalam keadaan berbogel di bawah rak buah selepas pihak bomba berjaya memadam kebakaran di sebuah gerai buah-buahan dekat Pasar Maran, semalam. Lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dipercayai mabuk dan dalam kesejukan ekoran hujan pada malam tadi, dia tidak terjaga dari tidur meskipun gerai tersebut sedang marak terbakar. Peniaga gerai berkenaan, Samsuddin Yaakob, 47, berkata, kejadian berlaku ketika dia berada di rumah dan hanya diketahui selepas dimaklumkan seorang peniaga santan di Pasar Maran. Menurutnya, kebakaran disedari orang ramai apabila melihat api sedang marak dan tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda termasuk buah-buahan. “Tidak sampai 10 minit api berjaya dipadamkan pihak bomba dan kami tidak menyangka ada orang tidur di dalam gerai ini. “Pihak bomba berasa curiga ketika melihat ada sesuatu di bawah rak yang hanya bahagian atas terbakar. “Apabila disuluh, baharu nampak ada seorang lelaki tanpa pakaian sedang tidur dan masih tidak sedarkan diri namun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. Peniaga Fama itu berkata, kerugian dianggarkan hampir RM15,000 memandangkan semua jenis buah-buahan rosak termasuk peralatan berniaga. Menurutnya, ia merupakan kejadian pertama sejak 10 tahun berniaga berdekatan Pasar Maran dan tidak menolak kebakaran mempunyai kaitan dengan lelaki berkenaan. “Malam tadi hujan dan mungkin kerana kesejukan, dia hidupkan api sehingga menyebabkan kebakaran. “Sebelum ini tiada siapa yang tidur di gerai saya malah semua jenis buah disimpan di gerai,” katanya.