Search This Blog

Monday, September 8, 2014

Lelaki, ibu mertua ditahan, polis rampas dadah bernilai RM1.93 juta


A. Thaiveegan (kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah bernilai RM1.93 juta yang dirampas daripada sindiket memproses dadah di Georgetown, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/SAZALI CHE DIN
PULAU PINANG 5 Sept. - Dengan hanya menggunakan buku, seorang lelaki tempatan dan merupakan graduan dari universiti luar negara menyalahgunakan kepandaiannya untuk memproses dadah.
Dia menjadikan sebuah banglo yang disewa sebagai makmal mini untuk memproses dadah.
Perbuatannya itu tidak kekal lama apabila suspek berusia 33 tahun diberkas ketika menunggang sebuah motosikal di sebatang jalan di Jelutong, pada pukul 12.10 tengah malam semalam.
Berikutan tersebut, polis menumpaskan kegiatan itu dan merampas keseluruhan dadah berjumlah RM1.93 juta.
Semasa penahanan suspek, polis merampas 6.7 gram syabu dan susulan itu, satu serbuan dilakukan di sebuah apartmen miliknya di Jelutong dan sejumlah 121 gram syabu dan lapan biji pil ekstasi dirampas.
Di situ, polis turut menahan ibu mertua suspek berusia 51 tahun yang merupakan warga Vietnam manakala difahamkan, isterinya berjaya melarikan diri.
Bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah banglo di kawasan Green Lane di sini yang dijadikan makmal memproses dadah serta merampas pelbagai peralatan dan dadah.
Dadah itu adalah terdiri daripada 4.77 kilogram (kg) heroin; syabu (1.97kg); methamphetamine (3 liter), ekstasi (4,490 biji pil), Eramin 5 (1,100 biji pil), Yaba (2,400 biji pil), serbuk ephedrine (33kg) dan precursor serta bahan kimia lain.
Turut dirampas wang tunai berjumlah RM26,500, sebuah motosikal dan sejumlah buku panduan untuk memproses dadah.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, siasatan polis percaya suspek telah menjalankan kegiatan itu bersendirian sejak setahun lalu dan memasarkan dadah untuk negeri ini dan utara Semenanjung.
"Kedua-dua suspek telah direman sehingga 10 September ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140906/je_03/Lelaki-ibu-mertua-ditahan-polis-rampas-dadah-bernilai-RM193-juta#ixzz3CfTwvfO2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment