GEORGETOWN - Seorang lelaki ditemui mati dipercayai terjatuh dari sebuah pangsapuri di Blok 354, Lintang Maccalum 1, Gat Lebuh Maccalum di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, mayat lelaki berusia 40an itu ditemui terbaring tepi longkang pangsapuri berkenaan oleh orang ramai selepas terdengar bunyi dentuman.

Seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Leong berkata, tidak pernah melihat lelaki berkenaan sebelum ini dan dipercayai bukan penduduk di situ.

Beliau berkata, sebelum itu, lelaki berkenaan dilihat berjalan di sekitar perumahan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Saya memang tak pernah lihatnya di sini dan yakin dia bukan penduduk perumahan ini.

“Kebanyakan kes orang terjatuh dari pangsapuri di sini adalah orang luar. Saya harap kejadian seperti ini tak akan berulang lagi,” katanya.

Sementara itu, sumber polis berkata, pemeriksaan yang dilakukan terhadap lelaki berkenaan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala selain tulang pinggang patah.

“Polis masih menyiasat identitinya selain mengenal pasti dari aras berapa lelaki ini terjatuh,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Kes diklasfikasikan sebagai kematian mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi talian 04-2181822 atau balai polis berhampiran.