Search This Blog

Friday, September 12, 2014

Lebih 400,000 mangsa banjir masih terperangkap


MANGSA banjir menaiki sebuah bot untuk berpindah di Srinagar, India kelmarin.


NEW DELHI - Lebih 400,000 orang masih terperangkap selepas banjir melanda wilayah Kahsmir yang ditadbir India, menurut beberapa laporan semalam.
Situasi getir itu berlaku ketika pasukan penyelamat bertungkus lumus untuk sampai kepada mangsa bagi mengagihkan makanan dan air.
Kira-kira 215 orang meninggal dunia sejak minggu lalu selepas wilayah Jammu Kashmir dilanda banjir terburuk dalam tempoh satu abad.
"Kami tidak pasti jumlah sebenar korban melainkan jika banjir surut sepenuhnya dan pasukan penyelamat dapat sampai ke kawasan yang terjejas," kata seorang pegawai tempatan di ibu negeri wilayah Jammu, Srinagar.
"Paras air sungai utama, Sungai Jhelum turun satu meter tetapi cabaran getir kami masih di Srinagar yang mana lebih 400,000 orang terperangkap," kata seorang pegawai lain yang dipetik agensi berita IANS.
Sebahagian besar Srinagar masih ditenggelami air manakala lebih ramai petugas penyelamat yang dibantu Tentera Laut India dihantar untuk membantu operasi menyelamat.
Sejumlah mangsa terpaksa menunggu di bumbung kediaman mereka selama berhari-hari untuk diselamatkan susulan hujan lebat yang turun sejak awal bulan ini. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0912&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3D3ENGfEj 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment