Search This Blog

Tuesday, September 30, 2014

Lebih 100 rumah rosak di Bukit Jelutong akibat ribut

ANTARA kereta yang dihempap pokok tumbang berikutan kejadian ribut kuat yang melanda sekitar bandar raya ini petang tadi. - Foto Ihsan Bomba
Laluan masuk ke kawasan perumahan yang terletak di Jalan Arca, Bukit Jelutong Timur terpaksa ditutup sementara waktu untuk operasi pembersihan apabila pokok-pokok di tepi jalan tumbang sehingga menutup laluan.
Seorang pengawal keselamatan dari sekitar kawasan perumahan itu yang enggan mahu dikenali ketika ditemui pemberita berkata kejadian ribut disedari berlaku kira-kira pukul 2.10 petang ketika beliau berada di pos pengawal.
"Hujan lebat terbentuk seperti satu puting beliung yang datang dari arah tepi pos pengawal sebelum bergerak ke kawasan perumahan itu dan menyebabkan atap genting tercabut dan pokok tumbang," katanya.
Menurut seorang pemilik rumah dari Bukit Jelutong Muhammad Farid Abgani, 40, rumahnya dibanjiri air selepas atap genting tercabut ekoran ribut tersebut.
"Pokok di depan rumah saya tumbang, tetapi bernasib baik ia tumbang ke arah jalan raya dan bukan ke arah rumah saya," katanya.
Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Bomba (Operasi) Selangor, Mohd Sani Harul berkata sebanyak 15 anggota dari Balai Bomba Shah Alam dan Sungai Buloh dihantar ke enam lokasi berbeza di sekitar Persiaran Tebar Layar akibat pokok tumbang dan menghalang laluan.
Katanya, sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki dua orang turut dihempap pokok, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan bomba.
Majlis Bandaraya Shah Alam pula dalam satu kenyataan berkata ia telah menghantar unit pasukan pantas mereka ke lokasi pokok tumbang termasuk di Seksyen U8, Seksyen U2, Seksyen 8 dan Seksyen 9. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment