Search This Blog

Sunday, September 21, 2014

Kekecohan tercetus di Glasgow


SEBAHAGIAN penyokong kemerdekaan (kanan) berkelahi dengan penunjuk perasaan pro-Britain di Dataran George, Glasgow, Scotland, kelmarin. - REUTERS
GLASGOW 20 Sept. - Kekecohan tercetus antara penyokong dan penentang kemerdekaan Scotland di Dataran George, Glasgow semalam, beberapa jam selepas Ratu Elizabeth II dan Menteri Pertama Scotland, Alex Salmond menyeru supaya penduduk wilayah ini kembali bersatu-padu.
Seruan dua pemimpin itu dinyatakan selepas keputusan pungutan suara Scotland mendapati 55.3 peratus penduduk Scotland menentang untuk berpisah dengan Britain berbanding 44.7 peratus bersetuju untuk merdeka.
Menurut media tempatan, kejadian itu tercetus ketika kumpulan penentang kemerdekaan berarak dengan membawa bendera Union Jack di dataran tersebut dan bertembung dengan kumpulan pro-kemerdekaan.
Seramai enam orang ditahan ekoran pertelingkahan tersebut yang melibatkan kira-kira 200 orang.
Kumpulan penentang kemerdekaan turut dilaporkan membakar bendera Scotland dalam pertelingkahan berkenaan sehingga memaksa polis mengawal keadaan.
Menurut saksi, kumpulan pro-kemerdekaan turut menyanyikan lagu Flower of Scotland, manakala kumpulan penentang kemerdekaan pula membalas dengan nyanyian lagu Rule Brittania sebelum mereka bersurai tidak lama kemudian.
Sementara itu, Salmond, 59, yang bertanggungjawab membawa gerakan menuntut kemerdekaan daripada United Kingdom (UK) meletak jawatan semalam, selepas majoriti penduduk negara ini dalam satu pungutan suara menolak usaha tersebut.
Laman web Washington Post melaporkan, Salmond ketika mengumumkan keputusan tersebut berkata, beliau akan melepaskan jawatan berkenaan sejurus Parti Kebangsaan Scotland (SNP) berjaya memilih pemimpin baharu bagi menggantikannya.
Kata Salmond lagi, beliau turut menolak untuk bertanding dalam pemilihan ketua baharu SNP pada persidangan tahunan bulan November ini, namun menegaskan sama sekali tidak akan bersara dari dunia politik.
"Sudah tiba masa untuk saya memberi peluang kepada orang lain untuk memimpin. Sebagai ketua, masa untuk saya terus memimpin sudah hampir tamat.
"Namun bagi Scotland, kempen harus diteruskan dan impian tidak akan sama sekali berkubur," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Ratu Elizabeth II merayu kepada rakyat Scotland agar terus bersatu dan mengenepikan perbezaan pendapat. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140921/lu_01/Kekecohan-tercetus-di-Glasgow#ixzz3DtxaoxRd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment