Keadaan rumah usang tempat Sarimah berteduh sementara menanti rumah dibaiki semula
Keadaan rumah usang tempat Sarimah berteduh sementara menanti rumah dibaiki semula
RAUB - Seorang warga emas terpaksa menumpang rumah menantu buat sementara waktu manakala anak perempuannya pula kini menetap di sebuah rumah usang selepas kediaman mereka yang terletak di Kampung Ulu Atok, dekat sini terbakar.

Difahamkan, rumah yang didiami Mokhtar Abdullah, 76, bersama seorang anak perempuannya, Sarimah Mokhtar, 45, merupakan rumah bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Nasib yang menimpa mereka mendapat perhatian Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (Muip) Raub, diwakili Pegawai Muip daerah, Ab Halim Chik menyampaikan sumbangan kepada Mokhtar bagi meringankan bebannya.

Ab Halim berkata, beliau berharap sumbangan yang dihulurkan akan digunakan Mokhtar untuk menampung sedikit kos yang diperlukan untuk membaiki rumahnya itu.

Sementara itu, menceritakan detik kejadian pada 31 Ogos lalu, Mokhtar berkata, dia terjaga dari tidur kira-kira jam 1 pagi untuk memeriksa kotak suis rumah selepas lampu bilik tidurnya tiba-tiba terpadam namun terkejut apabila melihat ruang tamunya dipenuhi kepulan asap.

“Api marak terlalu cepat, pakcik tak sempat nak selamatkan apa-apa barang dalam rumah.

“Televisyen, peti ais, mesin basuh dan perabot rumah musnah dalam kebakaran terbabit dan kerugian dianggarkan kira-kira RM20,000,” katanya.

Menurutnya, meskipun sudah lebih dua minggu kejadian terbabit berlaku, namun bantuan bulanan yang dihulurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak cukup untuk menampung kos membaiki semula rumahnya itu.

“Pendapatan bulanan pakcik bergantung sepenuhnya kepada bantuan JKM, memang tak cukup nak guna untuk kos baiki rumah yang rosak.

“Alhamdulillah Muip sudi membantu, diharap rumah kami dapat dibaiki semula kerana pakcik kasihan melihat anak perempuan pakcik terpaksa tinggal dekat rumah usang di belakang rumah kami yang terbakar itu sementara menantu rumah dibaiki semula,” katanya.