Search This Blog

Tuesday, September 30, 2014

Kebas emas RM20,000


Oleh Mohd Fadly Samsudin
Kajang: Seorang pembantu rumah wanita warga Sri Lanka ditahan selepas disyaki melarikan pelbagai barang kemas milik majikannya ketika sedang menunggu pesawat untuk pulang ke negara asalnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 pagi 22 September lalu, pembantu rumah yang digaji untuk tempoh beberapa hari melarikan diri dari rumah mangsa di Taman Tan Sri Manickavasagam, Semenyih, di sini.

Difahamkan, mangsa menggaji wanita itu sementara majikan asal yang juga rakan mangsa mempunyai tugasan di luar kawasan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Muhammad Ji berkata, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Semenyih.

Pemeriksaan mangsa di rumahnya mendapati pelbagai barangan kemas dan wang tunai berjumlah RM3,800 miliknya lesap.

“Pada jam 9 pagi kelmarin, anggota D4 IPD Kajang berjaya mengesan suspek selepas membuat semakan di kaunter Imigresen klia2 sebelum menahan wanita terbabit ketika sedang menunggu penerbangan pulang ke negaranya,” katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek memberitahu barang kemas itu disimpan di rumah majikan asalnya di Subang Baru.

“Polis merampas pelbagai barangan emas termasuk gelang, rantai leher, loket dan subang milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM20,000 yang diletakkan di dalam sofa,” katanya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

No comments:

Post a Comment