Search This Blog

Sunday, September 14, 2014

Kanak-kanak warga Malaysia maut


ADELAIDE 13 Sept. - Seorang kanak-kanak perempuan warganegara Malaysia berusia lapan tahun maut akibat tercampak setinggi 10 hingga 15 meter ke udara ketika sedang menaiki sebuah permainan, Airmaxx 360 di taman tema, Royal Adelaide Show di Adelaide, Australia semalam.
Menurut adelaidenow.com.au, kanak-kanak tersebut yang berada di Australia bersama keluarganya untuk bercuti dikejarkan ke hospital akibat kecederaan teruk namun meninggal dunia tidak lama kemudian.
Pengarah Eksekutif agensi kesihatan dan keselamatan SafeWork SA, Bryan Russell hari ini berkata, siasatan punca kejadian sedang dijalankan sementara permainan tersebut ditutup daripada digunakan orang awam.
Tambahnya, siasatan itu dijangka mengambil masa berdasarkan insiden yang berlaku serta bilangan saksi yang terbabit dan kepakaran teknikal yang diperlukan.
Dalam pada itu, Konsul Kehormat Malaysia di Adelaide, Datuk Hassan Salleh memaklumkan, keluarga kanak-kanak terbabit akan diberikan bantuan sepatutnya ekoran kejadian tersebut.
Saksi, Malinda Dunwoodie, 17, berkata, kanak-kanak itu kelihatan seperti melorot ke bawah tempat duduknya ketika menaiki permainan itu.
"Kakinya tergantung dan dia tercampak ke udara setinggi 10 hingga 15 meter dan saya mula berlari ke arahnya," katanya.
Permainan Airmaxx 360 itu merupakan satu tarikan baharu taman tema berkenaan dan pernah digunakan di taman tema di Sydney dan Brisbane awal tahun ini tanpa sebarang masalah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140914/je_05/Kanak-kanak-warga-Malaysia-maut#ixzz3DG6sZjhh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment