BUKIT MERTAJAM - Waris bayi lelaki yang ditinggalkan di kawasan perumahan Taman Inderawasih, Perai dekat sini, 25 Februari lalu sedang dikesan oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah, Seberang Perai Tengah (SPT).

Jurucakapnya berkata, orang awam yang menemui bayi itu yang dipercayai baru sahaja dilahirkan terus membuat laporan kepada polis.

Beliau berkata, bayi itu dibawa ke sebuah klinik swasta sebelum dihantar Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

"Selepas pemeriksaaan mendapati bayi itu dilahirkan pra-matang dengan anggaran 34 hingga 38 minggu dengan berat 1.68 kilogram.

"Bayi itu kemudian ditempatkan dalam Neonatal Intensive Care Unit (NICU)," katanya.

Menurutnya, tiada sebarang dokumen pengenalan yang ditemui pada bayi berkenaan ketika dijumpai.

"Susulan itu, Unit Kerja Sosial HSJ merujuk kes itu kepada pegawai pelindung untuk tindakan lanjut. Bayi itu kini ditempatkan di wad 1 HSJ dan bersedia untuk discaj.

"Sepanjang tempoh itu, tiada ahli keluarga atau waris yang datang melawatnya," katanya.

Beliau berkata, bayi itu akan ditempatkan sementara di Rumah Kanak­-kanak Taman Bakti, Kepala Batas demi kesejahteraan dan keselamatannya mengikut perenggan 19 (2) Akta Kanak-­kanak 2001 sehingga  dibawa semula ke mahkamah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat, diminta menghubungi pejabat berkenaan atau talian 04-5382584 dan 017-4371949.