KAMPUNG PAMAH KULAT - Seorang mangsa kebakaran yang nyaris maut apabila kediamannya di kampung ini hangus dijilat api bersyukur kerana terselamat dan menerima bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (Muip) daerah bagi menampung kos membina semula rumahnya yang musnah.

Mangsa, Mohd Khairi Kamaluddin, 39, berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi itu mengakibatkan kerugian kira-kira RM50,000 apabila keseluruhan rumahnya musnah dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan jiran di belakang rumahnya dan ibu saudara yang tinggal bersebelahan.

“Saya terjaga lantas terus bangkit dari tidur dan terkejut melihat kepulan asap dari bumbung rumah dan api sedang marak.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus keluar rumah dan tak sempat nak selamatkan barang berharga,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Samsiah Mat Sah, 74, berkata, anaknya yang bekerja sendiri itu baru sahaja menetap di rumah terbabit.

“Sebelum ini, rumah itu kosong kerana kami telah membina rumah baru bersebelahan rumah ini.

“Meskipun begitu, saya bersyukur kerana anak saya selamat dalam kejadian itu,” katanya.