MANJUNG - Seorang pekerja sebuah stesen minyak cedera di tangan dan kening akibat diserang menggunakan parang dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di sini, petang, kelmarin.

Mangsa, An Asriza Abdul Rani, 21, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.25 petang semasa dia sedang bekerja di stesen minyak itu.

“Sebelum kejadian berlaku saya lihat ada sebuah kereta jenis Gen2 berhenti di salah sebuah pam minyak dan saya seperti biasa menghampiri kereta itu kerana menyangka dia mahu mengisi minyak.

“Tiba-tiba seorang lelaki keluar dari kereta memegang parang dan meminta menyerahkan beg pinggang yang saya pakai. Semasa lelaki itu cuba menarik beg, parang yang dipegangnya terkena kening sebelah kiri dan dua jari kiri saya,” katanya.

Katanya, lelaki berkenaan berjaya melarikan diri bersama beg pinggang miliknya yang mempunyai wang hasil jualan minyak.

“Akibat itu saya menerima enam jahitan di jari dan dua jahitan di kening serta segera membuat laporandi Balai Polis Pantai Remis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, pihaknya berjaya menahan salah seorang suspek yang terlibat dalam kes samun di stesen minyak berkenaan.

Menurutnya, hasil maklumat awam, anggota polis Balai Pantai Remis yang mengadakan rondaan berjaya menahan suspek berusia 47 tahun di Kampung Lubuk Pusing, Changkat Keruing kira-kira jam 12.05 malam semalam.

“Selepas menyamun, suspek melarikan diri namun kenderaan yang digunakan semasa menyamun dijumpai di Kampung Lubuk Pusing, Pantai Remis.,” katanya.

“Suspek yang ditahan akan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut. Dalam masa sama, polis masih mengesan salah seorang rakan suspek yang masih bebas,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Jaafar berkata, sebuah premis yang menjalankan perniagaan membeli emas lama dan surat pajak hampir disamun.

“Dalam kejadian jam 9.10 pagi kelmarin di Sitiawan, ketika premis berkenaan baru dibuka, tiba-tiba datang seorang lelaki cuba menyamun.

“Berlaku pergaduhan hingga menyebabkan pekerja di premis cedera di kepala dan kaki kiri dipercayai terkena parang. Namun suspek melarikan diri sebelum sempat menyamun barang di premis berkenaan," katanya.