Penguat kuasa Ukaps melekatkan pita dan notis pada pintu hadapan klinik berkenaan.
Penguat kuasa Ukaps melekatkan pita dan notis pada pintu hadapan klinik berkenaan.
GEORGETOWN - Sebuah klinik swasta di Bayan Baru di sini, diarah menghentikan operasinya selepas didapati menggunakan khidmat doktor tidak bertauliah.

Dalam serbuan yang dilakukan sepasukan penguat kuasa Unit Kawalan Perubatan Swasta (Ukaps), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, kira-kira jam 2 petang itu, seorang lelaki berusia 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan, manakala klinik yang beroperasi 24 jam itu disita.

Operasi dibuat selepas Jabatan Kesihatan menerima maklumat mengenai penggunaan khidmat doktor tidak bertauliah di klinik itu.

Menurut sumber, ketika serbuan, lelaki itu gagal menunjukkan sijil perakuan amalan tahunan yang melayakkannya menjalankan tugas sebagai doktor dan memeriksa pesakit.
“Pemilik klinik itu mempunyai tauliah, namun difahamkan menggaji doktor palsu. Dia juga pernah diberi amaran kerana menggaji doktor tidak bertauliah, namun berdegil,” katanya.

Menurutnya, klinik persendirian itu juga dijadikan klinik panel kepada beberapa syarikat swasta dan ketika serbuan kelihatan beberapa pesakit menunggu untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Lailanor Ibrahim mengesahkan serbuan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(c) menggaji pekerja tanpa tauliah dan Sub Seksyen 91 (1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 585).