Search This Blog

Tuesday, September 30, 2014

Geng Latin Botak tumpas


AZISMAN Alias (tengah) bersama pegawainya menunjukkan tukul besar dan peralatan yang digunakan Geng Latin Botak untuk memecah masuk rumah dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah
SHAH ALAM 29 Sept. - Kegiatan sekumpulan warga asing dari Amerika Latin yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dengan menyamar sebagai pelancong dan menjadikan kediaman mewah di sekitar Lembah Klang sebagai sasaran tumpas dengan tertangkapnya tujuh suspek di Subang Jaya, Jumaat lalu.
Kumpulan yang dikenali sebagai Geng Latin Botak itu ditahan hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Subang Avenue dan USJ 19 pada 26 Oktober lalu selepas risikan dan intipan selama dua minggu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, barang curi bernilai lebih RM200,000 seperti barangan kemas, jam, telefon bimbit, komputer riba dan dua buah kereta iaitu jenis Toyota Estima dan Honda City berjaya dirampas.
Katanya, peralatan untuk memecah rumah seperti tukul besi, kuku kambing, rantai besi, pemutar skru dan tali yang digunakan untuk menarik benda besar serta berat seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM) turut dirampas.
"Serbuan pertama di Subang Avenue pada kira-kira pukul 2 pagi berjaya menahan empat suspek lelaki manakala serbuan kedua beberapa jam selepas itu iaitu pada pukul 4.30 pagi di USJ 19 pula berjaya memberkas dua lelaki dan seorang wanita.
"Kesemua suspek berumur antara 25 hingga 43 tahun dan empat daripada mereka memiliki pasport yang tamat tempoh manakala tiga lagi tidak memiliki sebarang dokumen," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di sini hari ini.
Azisman berkata, polis percaya kumpulan tersebut bergiat aktif sejak empat bulan lalu dan menyasarkan kediaman mewah di sekitar Lembah Klang yang ditinggalkan penghuni untuk bercuti atau bekerja.
"Kumpulan ini sangat licik dan profesional. Kejayaan polis menangkap mereka telah menyelesaikan kira-kira 15 kes curi di sekitar Shah Alam.
"Kesemua suspek masih lagi ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140930/je_06/Geng-Latin-Botak-tumpas#ixzz3Ek5qGwTK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment