Search This Blog

Monday, September 8, 2014

Geng Jamil aktif pecah rumah tumpas


KOTA KINABALU 5 Sept. - Ekoran bisnes makanan kurang memberangsangkan, seorang majikan bersama tiga pekerja di kedai makan miliknya menukar 'kerjaya' dengan menjadi penjenayah pecah rumah.
Suspek berusia 35 tahun bersama tiga pekerjanya dan tiga lagi lelaki menubuhkan satu kumpulan dinamakan sebagai Geng Jamil dan aktif memecah masuk rumah di sekitar Kota Kinabalu sejak Mei lalu.
Sehingga kini, enam kes jenayah tersebut dikesan dilakukan kumpulan itu di Kolombong, Kepayan, Luyang, Menggatal serta Inanam dengan anggaran kerugian sebanyak RM291,000.
Bertindak atas maklumat, kesemua suspek akhirnya diberkas ketika sedang leka bermain permainan video di sebuah pusat rekreasi di pusat beli-belah di sini.
Pemeriksaan mendapati suspek utama itu pernah dipenjara selama tiga tahun kerana memiliki barangan curi, namun dibebaskan pada Mac tahun lalu dan membuka perniagaan kedai makan sebelum perniagaannya merosot.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, berikutan penahanan ahli kumpulan itu, polis menemukan barangan curi termasuk kereta, telefon, jam tangan, dompet, besi pengumpil, rantai emas dan resit pajak gadai yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM40,000.
"Tiga ahli kumpulan tersebut merupakan pekerja suspek utama di kedai makan miliknya manakala tiga yang lain bekerja sebagai pelayan kedai, pekerja buruh binaan dan penjual pakaian di pasar malam," katanya demikian dalam sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Daerah, di sini hari ini.
Chandra yang menjawat Timbalan Ketua Polis Daerah dinaikkan pangkat dan tempatnya diisi oleh Supritendan Mohd. Azhar Hamin.
Majlis penyerahan tugas tersebut disaksikan oleh Ketua Jabatan Pe­ngurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140906/je_05/Geng-Jamil-aktif-pecah-rumah-tumpas#ixzz3CfYowFQJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment