Search This Blog

Monday, September 8, 2014

Gencatan senjata di Ukraine rapuh


SEORANG pemberontak pro-Rusia berdiri di hadapan kenderaannya yang dilengkapi mesingan berat di Donetsk, timur Ukraine semalam.


DONETSK - Seorang penduduk terbunuh dalam bedilan meriam ke atas bandar pelabuhan Mariupol di Ukraine manakala beberapa letupan kuat didengar dekat sebuah lapangan terbang di sini semalam sekali gus meningkatkan kebimbangan satu gencatan senjata yang dimeterai dua hari lalu akan gagal.
Beberapa letupan dekat lapangan terbang ini amat kuat sehingga boleh didengari penduduk di pusat bandar raya ini yang menjadi kubu kuat pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Ukraine, Volodymyr Polyovyi menyatakan dalam satu taklimat di Kiev bahawa anggota-anggota pemisah cuba menyerang lapangan terbang tersebut yang dikuasai kerajaan sejak Mei lalu.
Gencatan senjata tersebut kelihatan bertahan sepanjang hari kelmarin tetapi bedilan artileri bermula lewat malam.
Kumpulan pemberontak pro-Rusia dalam satu kenyataan menuduh tentera Ukraine mencabuli gencatan senjata itu dengan membedil enam lokasi kedudukan mereka kelmarin termasuk dekat lapangan terbang di sini.
Kenyataan tersebut memberitahu, beberapa pemberontak terbunuh dalam serangan itu.
Bedilan artileri turut berlaku di pinggir bandar pelabuhan Mariupol yang menjadi lokasi barisan hadapan tentera Ukraine memerangi pemberontak.
Menurut pihak berkuasa bandar pelabuhan itu, seorang penduduk awam terbunuh manakala seorang petugas wanita cedera dalam bedilan tersebut.
Sebutir peluru meriam turut memusnahkan sebuah stesen petrol di kawasan itu.
Mariupol terletak di perairan Laut Azov pada jarak 115 kilometer ke selatan bandar raya ini.
Ukraine dan pemberontak pro-Moscow itu sebelum ini menandatangani satu perjanjian gencatan senjata di ibu kota Belarus, Minsk pada Jumaat lalu dalam usaha untuk menamatkan pertumpahan darah yang berlarutan sejak lebih empat bulan lalu.
Perang saudara antara pemberontak pro-Rusia dan kerajaan Ukraine bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara itu tetapi turut meragut sekurang-kurangnya 2,600 nyawa orang awam serta menyebabkan beribu-ribu penduduk hilang kediaman. - AP


Artikel terpelihara  
 

No comments:

Post a Comment