Search This Blog

Wednesday, September 17, 2014

Gadis beli nasi lemak lari bersama kekasih



Ipoh: Seorang bapa merayu orang ramai membantu mengesan anak perempuannya Puteri Nur Sabrina, 17, yang hilang sejak 30 Julai lalu selepas keluar membeli nasi lemak di kawasan berhampiran rumahnya di Taman Klebang Utama, di sini.

Megat Kamarudzzaman Megat Talib, 45, berkata, anak perempuannya itu yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini hilang tanpa membawa sebarang beg pakaian.

Menurutnya, anaknya itu dipercayai melarikan diri mengikut teman lelakinya iaitu seorang lelaki tempatan yang hanya dikenali sebagai Myzan berasal dari Gombak, Selangor.

Katanya, pada hari kejadian, Sabrina memakai seluar trek berwarna gelap serta baju-T berwarna putih dan memberitahunya mahu keluar membeli nasi lemak di kawasan berdekatan dengan menaiki motosikal Yamaha LC Ego.

“Selepas beberapa jam keluar, anak saya tidak kembali ke rumah menyebabkan saya mula mencarinya di beberapa rumah rakan sekolahnya, namun usaha itu gagal.



Saya juga cuba menghubungi telefon bimbitnya, tapi tidak berjawab.

“Kini telefon bimbit anak saya itu gagal dihubungi menyebabkan saya membuat laporan di Balai Polis Chemor pada 1 Ogos lalu.

Pelbagai ikhtiar turut dilakukan termasuk mencarinya di Kuala Lumpur, namun tidak menemuinya,” katanya.

Katanya, anak perempuannya itu juga pernah hilang selama beberapa hari tahun lalu sebelum ditemui semula selepas lelaki berkenaan menghantar anaknya itu ke Hentian Puduraya.

Menurutnya, dia mengesyaki kehilangan anaknya kali ini sudah dirancang.

Sementara itu, ibunya, Norazizian Mohd Ghazali, 43, turut merayu mana-mana pihak yang mengenali atau mengetahui di mana anaknya berada untuk menghubungi mereka atau balai polis terdekat bagi memastikan anak gadisnya itu kembali ke pangkuan.

“Pulanglah ke pangkuan keluarga dan ingatlah masa depan, peperiksaan SPM sudah makin hampir.

“Ibu mana yang tidak bimbang bila anaknya hilang, bermacam ikhtiar dan usaha kami lakukan, tetapi semuanya menemui jalan buntu, ini adalah ikhtiar terakhir kami dan diharapkan dapat maklum balas positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

No comments:

Post a Comment