Search This Blog

Sunday, September 14, 2014

Feri karam ragut dua nyawa, 100 hilang


14 September 2014

MANILA - FILIPINA. Kira-kira dua orang terbunuh manakala lebih 100 lagi sempat diselamatkan pihak berkuasa selepas feri yang dinaiki oleh penumpang dan anak kapal tenggelam di perairan tengah Filipina tengahari, semalam.

Mengesahkan kemalangan tersebut, Pegawai Pengawal Pantai, Komander Armand Balilo berkata, feri yang dinamakan sebagai The Maharlika II membawa 26 anak kapal dan 58 penumpang termasuk dua kanak-kanak pada laporan awalnya.

Feri tersebut meninggalkan Pelabuhan Liloan di Wilayah Leyte menuju ke tengah Filipina.

Dilaporkan, Feri itu turut membawa 13 kenderaan di atasnya namun pemandu-pemandu kenderaan tidak disenarai sebagai penumpang pengangkutan air berkenaan.

“Berdasarkan laporan awal, dua orang disahkan meninggal dunia manakala 102 yang lain diselamatkan oleh tiga kapal termasuk dua kapal pedagang asing.

“Kami tidak pasti jumlah mangsa yang masih hilang kerana berdasarkan maklumat terkini yang diperoleh, kami dapati lebih ramai penumpang dari jumlah yang dilaporkan berada di atas feri semasa kemalangan berlaku,” ujarnya dipetik Reuters.

Setiap tahun, kemalangan feri atau pengangkutan air di Filipina dilaporkan telah meragut ratusan nyawa rakyat di negara itu.

Taburan pulau-pulau kecil yang terdapat di sekeliling perairan Filipina menyebabkan timbulnya kesesakan di perairan laut negara tersebut.

Faktor keadaan bot atau pengangkutan air yang tidak diselenggara mengikut ketetapan menjadikan nisbah kemalangan dan angka korban meningkat dari tahun ke tahun.

Tambah Balilo lagi, semasa kejadian, satu perintah untuk meninggalkan feri telah dikeluarkan pada sekitar jam sembilan malam (1300 GMT/ 09:00 EDT).

Perintah tersebut dikeluarkan berikutan angin kencang dan ombak besar yang melanda, ditambah dengan masalah enjin yang dialami sejak petang semalam.

No comments:

Post a Comment