Search This Blog

Monday, September 8, 2014

Empat kelab malam eksklusif diserbu


ANGGOTA polis mengambil keterangan daripada pengunjung sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur, malam semalam.
KUALA LUMPUR 7 Sept. - Empat buah pusat hiburan eksklusif terbesar di ibu negara diserbu polis malam tadi kerana sebahagian pengunjungnya dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah serta kegiatan tidak bermoral.
Empat kelab tersebut masing-masing terletak di Jalan Ampang, Jalan Bukit Bintang, Jalan Palmer dan Jalan Gelang di sini.
Dalam serbuan itu, lebih 200 pengunjung dan pekerja kelab telah diperiksa dan seramai 31 orang termasuk 22 warga asing telah ditangkap kerana melakukan kesalahan berkaitan dadah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Turut ditahan ialah pengurus di salah sebuah pusat hiburan yang diserbu.
Difahamkan, serbuan terbabit dilakukan secara ad-hoc untuk mengelak diketahui umum sekali gus menggagalkan usaha yang dilakukan sekumpulan lapan pegawai dan 50 anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) dan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.
Jurucakap polis memberitahu, mereka mengambil masa yang singkat untuk melakukan perancangan dan serbuan itu dilakukan secara serentak bagi mengelak pelanggan serta pekerja di empat kelab itu melarikan diri.
Katanya, walaupun seramai lapan orang sahaja yang berjaya dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah namun itu membuktikan pusat hiburan di ibu negara masih belum bebas daripada pengaruh dadah sintetik khususnya methamphetamine.
"Dua wanita daripada lapan yang diperiksa di sebuah kelab di Jalan Ampang dikesan positif methamphetamine dan begitu juga enam lelaki di Jalan Bukit Bintang turut positif dadah jenis sama," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, dalam serbuan ke atas premis hiburan di Jalan Ampang, dua wanita warga Iran yang dipercayai beragama Islam telah ditangkap kerana menggunakan pas lawatan yang telah tamat tempoh.
Kedua-dua mereka dipercayai berada di negara ini untuk memperoleh pendapatan lebih dengan melakukan aktiviti yang tidak bermoral.
Di premis empat tingkat di Jalan Gelang pula, seramai 80 pelanggan lelaki dan 30 pelanggan wanita yang sedang berhibur terkejut apabila aktiviti itu dihentikan secara tiba-tiba oleh sekumpulan dua pegawai dan 19 anggota polis.
Seramai 51 daripada mereka telah dikerahkan untuk melakukan ujian air kencing kerana dicurigai terlibat dalam penyalahgunaan dadah manakala 19 warga asing dari Vietnam, Thailand, Taiwan dan China yang berkhidmat sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) telah ditangkap.
Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Baharin Mohd. Rose ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan tentang serbuan di empat kelab malam terbesar di ibu negara itu dan kesemua yang terbabit ditahan mengikut Akta Imigresen dan Akta Dadah Berbahaya.


Artikel Utusan Melayu (M) Bhd 
 

No comments:

Post a Comment