Search This Blog

Thursday, September 11, 2014

Ebola sukar dikekang


AFP
PETUGAS kesihatan yang memakai sut perlindungan mengangkat keluar mayat seorang mangsa Ebola di Banjor dekat Monrovia, Liberia pada 4 September lalu.


GENEVA - Angka kematian akibat wabak Ebola masa kini yang disifatkan terburuk dalam sejarah melonjak hampir 200 orang sehari kepada sekurang-kurangnya 2,296 mangsa, menurut anggaran Pertubu- han Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin.
Pada masa yang sama, badan dunia itu percaya virus Ebola telah pun meragut nyawa lebih ramai mangsa.
Menurut WHO, sejumlah 4,293 jangkitan Ebola telah direkodkan di lima negara Afrika Barat setakat 6 September lalu, sehari selepas kemas kini sebelumnya.
Bagaimanapun, agensi itu tidak mempunyai angka terbaharu untuk Liberia yang merupakan negara paling teruk diserang virus Ebola.
Perkembangan membimbangkan itu membayangkan bahawa angka kematian sebenar wabak Ebola adalah jauh lebih tinggi.
WHO sebelum ini menyatakan, pihaknya menjangkakan beribu-ribu kes baharu Ebola berlaku di Liberia dalam tempoh tiga minggu akan datang.
Kebimbangan serupa dinyatakan Presiden Liberia, Ellen Johnson Sirleaf kelmarin.
Beliau berkata, krisis Ebola yang melanda negara itu akan menjadi bertambah buruk dalam tempoh beberapa minggu akan datang ekoran kekurangan bekalan perubatan dan kurangnya sokongan masyarakat antarabangsa.
"Situasi kini amat serius," katanya dalam satu kenyataan di ibu kota Liberia, Monrovia.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Liberia, Brownie Samukai memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu bahawa Ebola menjadi ancaman besar di negara itu.
"Liberia kini berdepan ancaman serius. Virus maut Ebola telah menyebabkan negara ini lumpuh," katanya.
Wabak Ebola yang bermula pada Disember tahun lalu kini kian meruncing tetapi 60 peratus kes dan kematian di Liberia dicatat sejak beberapa minggu lalu.
Antara simptom jangkitan Ebola termasuk demam panas, muntah dan cirit-birit diikuti pendarahan organ yang membawa kepada kematian. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0911&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3CxKKj9v3 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment