Search This Blog

Wednesday, September 17, 2014

Dua maut, 3 parah kemalangan


KUALA LIPIS 16 Sept. - Dua maut manakala tiga parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kampung Kubang Rusa, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Supriten-dan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa yang maut dalam kejadian pukul 8.30 malam itu dikenali sebagai Pauzi Din, 57, dan isterinya, Khalijah Jusof, 52.
Menurutnya, mangsa yang parah pula dikenali sebagai Abd Razak Yit, 45, isterinya, Hanisah Ibrahim, 42, dan anak mereka Mohd Helmi, 8.
"Kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki Pauzi dan Khalijah bersama anak lelaki mereka, Muhamad Hafizi, 26, dalam perjalanan dari arah Merapoh menuju ke Kuala Lipis.
"Sampai di tempat kejadian di Kilometer 81, Jalan Kuala Lipis-Me-rapoh, pacuan empat roda yang dipandu Muhamad Hafizi gagal dikawal dan melanggar bahagian belakang sebuah lori pasir yang diletakkan di bahu jalan kerana mengalami kerosakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Razak berkata, Toyota Hilux tersebut kemudian berpusing beberapa kali di atas jalan raya.
Tambahnya, dalam masa sama sebuah Proton Gen2 yang dipandu Abd. Razak bersama empat ahli keluarganya datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan merempuh pacuan empat roda berkenaan.
"Akibat rempuhan berkenaan, Khalijah maut serta-merta di tempat kejadian akibat cedera parah di leher manakala Pauzi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis ekoran cedera parah di rusuk.
"Kejadian tersebut juga menyebabkan Abd. Razak dan Hanisah patah kaki manakala Mohd. Helmi patah paha," ujarnya.
Tambah Abdul Razak, Muhamad Hafizi serta dua lagi anak Abd. Razak, Nurul Hazliana, 16, dan Mohd. Hafiz, 8, hanya cedera ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Lipis.
"Mayat pasangan suami isteri itu telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi yang menge-tahui tentang kejadian berkenaan diminta tampil di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis untuk membantu siasatan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140917/je_01/Dua-maut-3-parah-kemalangan#ixzz3DWQzPPjj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment