Search This Blog

Thursday, September 25, 2014

Dua ahli Geng 18 terjerat


Shah Alam: Dua anggota ‘Geng Sasi’ yang sering melakukan jenayah samun dan pemerasan di sekitar Sri Muda, Seksyen 25, di sini, sejak beberapa bulan lalu berakhir apabila mereka dicekup polis kurang 12 jam selepas melakukan samun, kelmarin.
Suspek yang masing-masing berusia 22 dan 23 tahun ditahan di kawasan sama, kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas polis menerima laporan mengenai kejadian samun dilakukan mereka terhadap seorang lelaki jam 3.30 pagi hari sama.
Selain menyamun, kedua-dua suspek yang juga anggota kumpulan kongsi gelap ‘Geng 18’ turut menjalankan kegiatan pemerasan terhadap peniaga di sekitar Sri Muda untuk mendapatkan wang mudah.

Malah, mereka dikatakan akan mencederakan mangsa jika enggan menyerahkan wang perlindungan seperti diminta.
Foto
AZISMAN (dua dari kanan) menunjukkan sebilah parang yang dirampas daripada penjenayah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, susulan laporan dibuat seorang lelaki berusia 30-an yang disamun suspek, sepasukan pegawai dan anggotanya menjalankan risikan sebelum mengesan suspek.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan di kawasan Sri Muda dan mereka dipercayai terbabit dengan kegiatan samun bersama dua lagi rakan yang masih bebas dan usaha memburu mereka giat dijalankan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek juga anggota kongsi gelap Geng 18 berdasarkan tatu yang dicacah pada lengan kiri mereka yang dipercayai aktif melakukan aktiviti pemerasan di sekitar Sri Muda.

“Polis merampas sebilah parang digunakan suspek untuk menyamun selain menemui telefon bimbit dipercayai milik mangsa mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, semalam.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata.

Katanya, orang ramai terutama peniaga di kawasan sekitar Sri Muda diminta tampil menyalurkan maklumat kepada polis jika didatangi individu tertentu yang meminta wang perlindungan atau melakukan kekerasan supaya tindakan lanjut dapat diambil.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

No comments:

Post a Comment